Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SAJIAN KHAS HARI INI: SEMANGAT WATAN

Larian demi isi dana golongan memerlukan

Sokong program bantuan Dana NTUC-U Care beri manfaat lebih 15,000 anggota berpendapatan rendah
Mar 24, 2022 | 05:30 AM



KALI terakhir beliau berlari jarak sejauh 42 kilometer (km) adalah semasa masih berusia 20-an tahun, dan tubuh badannya masih "amat cergas".



Justeru, pada usia yang sudah mencecah 57 tahun kini, Encik Zainal Sapari, menyifatkan percubaan beliau berlari maraton sebagai "bukan main-main".



Walaupun mengakui ia bukan tugas yang mudah dan beliau hampir berputus asa setengah jalan, namun, berbekalkan semangat membara untuk membantu, Penolong Ketua Pengarah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu terus menggagahkan diri.



Beliau mengatasi segala cabaran yang ada demi mengumpul dana bagi golongan berpendapatan rendah.



Itulah yang mendorongnya untuk sampai ke garisan penamat dalam masa kira-kira enam jam.



Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Zainal, yang juga Pengarah Jabatan Care and Share NTUC berkata:



"Setelah 30 km, saya sebenarnya mahu berhenti tetapi apabila saya memikirkan bahawa ramai orang menyokong saya, sekurang-kurangnya saya perlu penuhi ikrar saya untuk habiskan 42 km. Alhamdulillah saya dapat memenuhi jarak 42 km itu."



Usaha beliau merupakan sebahagian daripada inisiatif larian maya amal, Run To C.A.R.E, anjuran U Sports dan Dana NTUC-U Care yang berlangsung dari 16 Mac lalu hingga 10 April ini.



Matlamat acara itu adalah bagi mengumpul dana $50,000, di mana hasilnya akan disalurkan ke Dana NTUC-U Care yang bertujuan mengurangkan beban kewangan dan mempertingkat kehidupan golongan berpendapatan rendah.



Dana itu akan menyokong program bantuan Dana NTUC-U Care yang memberi manfaat kepada lebih 15,000 anggota berpendapatan rendah dan keluarga mereka.



Encik Zainal berjaya menamatkan larian 42 km Sabtu lalu yang berakhir di Gardens by the Bay.



Encik Zainal yang mula mengamalkan larian jarak jauh sejak pandemik melanda, berkata beliau mendapat inspirasi daripada seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun, Faith Hu, yang membuka laman mengumpul dana sendiri bagi usaha tersebut.



"Saya berharap lebih ramai boleh menyertai kami dalam inisiatif bermakna ini di mana semua derma akan disalurkan bagi menyokong anggota kita yang berpendapatan lebih rendah dan keluarga mereka dalam mengharungi tempoh sukar ini," katanya.



Sebelum maraton 42 km itu, Encik Zainal turut berlari sejauh 5 km, 10 km, 15 km dan 23 km pada waktu berasingan untuk menyumbang kepada usaha Run To C.A.R.E.



Encik Zainal berjaya mengumpulkan $18,000.



Dalam pada itu, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East dan pengarah NTUC, Encik Fahmi Aliman, turut menyelesaikan jarak 43 km dua minggu lalu, yang dilakukan secara kumulatif.



Selain mereka berdua, Setiausaha Agung Kesatuan Guru Singapura, Encik Mike Thiruman, dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana NTUC-U Care, Encik David Ong turut memulakan usaha mengumpul dana sendiri dan memberi komitmen untuk menyelesaikan larian masing-masing.



Secara kumulatif, mereka semua menetapkan sasaran untuk berlari sejauh 322 km secara keseluruhan dan mengumpul dana sebanyak $35,000.



Timbalan setiausaha agung NTUC, Encik Heng Chee How juga akan memulakan usaha pengumpulan dana sendiri bagi Run to C.A.R.E.



Orang ramai boleh memilih untuk menyumbang kepada Dana NTUC-U Care melalui dua cara.



Pertama adalah dengan menderma dan menyertai larian maya, atau menubuhkan kempen mengumpul dana sendiri serta mengumpul rakan dan keluarga agar menyumbang kepada kempen tersebut.




 "Setelah 30 km, saya sebenarnya mahu berhenti tetapi apabila saya memikirkan bahawa ramai orang menyokong saya, sekurang-kurangnya saya perlu penuhi ikrar saya untuk habiskan 42 km. Alhamdulillah saya dapat memenuhi jarak 42 km itu."
- Encik Zainal Sapari, Penolong Ketua Pengarah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC).




"Saya harap orang ramai memikirkan pekerja berpendapatan rendah, beri mereka galakan, libatkan diri dalam usaha mengumpul dana ini dan sumbang sedikit derma supaya pekerja berpendapatan rendah kita dan anak-anak mereka boleh meraih manfaat daripadanya."
- Encik Fahmi Aliman, Pengarah NTUC yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East.




RUN TO C.A.R.E



  • Mulai 16 Mac hingga 10 April, peserta boleh mula larian 42 kilometer mereka di aplikasi atau laman web 42Race. Peserta boleh kumpul kelima-lima E-Lencana di setiap batu penanda sepanjang laluan itu.

  • Beg cenderamata bernilai $84 akan diberi kepada setiap 200 individu pertama yang tamatkan larian 42 kilometer. Anda juga boleh mula usaha kumpul dana untuk Run To C.A.R.E.

  • Setiap daripada 10 individu atau pertubuhan yang dapat kumpul paling banyak dana akan terima hadiah bernilai $130 hingga $1,000.

Terdapat dua cara untuk sertai:



  • Buat sumbangan menerusi Giving.sg. Untuk sertai, anda perlu buat sumbangan sekurang-kurangnya $20.

Kemudian, lungsuri laman web 42Race atau muat turun aplikasi untuk daftar akaun



Masukkan nombor rujukan urus niaga dari Giving.sg atau PayNow untuk selesai pendaftaran.



Jika anda berjaya mendaftar, anda akan terima bib-elektronik.



  • Mulakan usaha kumpul dana sendiri dengan ke Giving.sg dan klik 'Fundraise Now'.

Tubuhkan laman kempen bagi Run To C.A.R.E dan tetapkan matlamat anda.



Dapatkan kelulusan bagi kempen anda



Tag #GetFitAndHealthyWithUSports & #UCARE.




Walau perit turun naik bukit, penuhi janji selesaikan larian



SUDAH menjadi sebahagian rutin Encik Fahmi Aliman, 49 tahun, untuk berlari sekurang-kurangnya 5 kilometer (km) setiap hari di kawasan estet perumahannya.



Justeru, pengarah Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) itu memutuskan untuk melakukan larian denai yang menurutnya lebih mencabar kerana perlunya turun naik bukit dan merentasi rupa bumi berbatu-batan dan sukar didaki.



Dua minggu lalu, Encik Fahmi, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat South East berjaya menyelesaikan larian denai sejauh 43 km, yang dilakukan secara kumulatif dalam tempoh seminggu.



Usaha itu merupakan sebahagian daripada inisiatif larian maya amal, Run To C.A.R.E, anjuran U Sports dan Dana NTUC-U Care yang berlangsung kini hingga 10 April ini.



Acara tersebut mempunyai matlamat mengumpul dana $50,000, di mana hasilnya akan disalurkan ke Dana NTUC-U Care.



Ia bertujuan mengurangkan beban kewangan dan mempertingkat kehidupan golongan berpendapatan rendah.



Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Fahmi berkata cabaran larian denai mendorongnya untuk memberi komitmen dalam mengumpulkan dana bagi pekerja perpendapatan rendah, menjadikan ia pengalaman yang istimewa.



"Sewaktu berlari itu, tentunya ia perit ketika turun naik (bukit)... tetapi apa yang mendorong saya adalah tujuan mengapa saya mahu melakukannya.



"Saya mahu memastikan saya tepati janji untuk menyelesaikannya dalam tempoh seminggu."



Encik Fahmi telah berlari jarak 6 km, 10 km, 12 km, 15 km sepanjang tempoh seminggu itu di Kolam Air MacRitchie dan Kolam Air Lower Peirce.



Sejauh ini, beliau berjaya mengumpulkan hampir $7,000 untuk disumbangkan kepada usaha Run To C.A.R.E.



Beliau berkongsi bahawa kali terakhir beliau melakukan larian denai adalah sejauh 21 km di Bandung, dua tahun lalu sebelum sekatan perjalanan dilaksanakan akibat Covid-19.



Justeru pengalaman berlari untuk tujuan amal tersebut memberinya peluang untuk 'kembali' ke alam semula jadi dan menikmati suasananya.



"Saya harap orang ramai memikirkan pekerja berpendapatan rendah, beri mereka galakan, libatkan diri dalam usaha mengumpul dana ini dan sumbang sedikit derma supaya pekerja berpendapatan rendah kita dan anak-anak mereka boleh meraih manfaat daripadanya," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >