SINGAPURA akan memulakan perbincangan mengenai satu perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Turkey, satu langkah yang dijangka mampu membawa hubungan ekonomi antara kededua republik ke peringkat yang lebih tinggi.
Mendedahkan rancangan tersebut dalam satu sidang media bersama di Istana sebentar tadi dengan Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata kededua pihak telah mengarahkan Menteri Perdagangan dan Perusahaan masing-masing bagi FTA itu.
"Mereka akan memulakan rundingan," kata Encik Lee.
Encik Erdogan berada di Singapura bagi satu rangka lawatan rasmi dua hari, yang pertama baginya ke Singapura. Beliau juga Perdana Menteri Turkey pertama untuk melawat Singapura dalam masa 18 tahun.
Bercakap di sidang yang dihadiri media Singapura dan Turkey itu, Encik Erdogan berkata beliau akan pastikan perbincangan FTA itu akan dibuat sehingga selesai dan secepat mungkin.
"... pastinya FTA ini akan dilaksanakan atas dasar saling menguntungkan (Singapura dan Turkey)," kata Encik Erdogan dalam bahasa Turkey.
Singapura dan Turkey turut menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MOU) bagi berkongsi kepakaran dalam bidang cegah keganasan.
Kededua Perdana Menteri menyaksikan sesi tandatangan MOU itu oleh Duta Besar Singapura ke Turkey, Encik Chandra Das, dan Duta Turkey ke Singapura, Encik Hakki Taner Seben, di Istana pagi tadi.