SINGAPURA dan Hong Kong telah mencapai persetujuan secara prinsip untuk menubuhkan gelembung perjalanan udara (ATB) dua hala.
Persetujuan itu akan membantu menghidupkan semula perjalanan udara antara sempadan antara kedua-dua hab udara ini dalam cara yang selamat dan progresif.
Persetujuan secara prinsip itu dicapai semasa panggilan persidangan video pada Khamis (15 Okt) antara Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung dan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Hong Kong, Encik Edward Yau.
Antara ciri ATB tersebut ialah tiada sekatan tujuan perjalanan dan semua pengunjung tidak perlu menjalani kuarantin atau perintah Jangan Keluar Rumah (SHN).
“Kedua-dua negara kita mempunyai jumlah kes Covid-19 yang rendah dan memiliki mekanisme mencukupi untuk mengawal Covid-19,” kata Encik Ong.
Tarikh pelancaran ATB Singapura-Hong Kong dan butiran lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat ini.