ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) telah menganjurkan edisi ke-30 Latihan Suman Warrior secara dalam talian - kali pertama format sedemikian digunakan.
Latihan melibatkan pelbagai negara itu diadakan di bawah Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) dan seramai 132 wakil dari negara-negara FPDA iaitu Singapura, Australia, New Zealand, Malaysia dan Britain telah menghadirinya.
Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan (Mindef) pada Rabu (14 Julai), para peserta telah mengambil bahagian dalam latihan pos komand yang fokus pada perancangan operasi darat dari 5 hingga 14 Julai 2021.
Latihan tahunan itu tidak diadakan tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
Kolonel Mohamed Feroz, Komandan Briged Infantri Singapura ke-2 dan pemimpin delegasi SAF tahun ini, berkata:
"Pelaksanaan Latihan Suman Warrior di tengah-tengah situasi Covid-19 menunjukkan komitmen tegas negara-negara anggota terhadap FPDA, serta ketahanan FPDA.
"Latihan ini juga membolehkan kita belajar daripada satu sama lain dan meningkatkan kebolehan operasi bersama antara angkatan bersenjata negara-negara anggota."