ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) akan mengerahkan sekitar 50 hingga 60 kakitangan untuk mengambil bahagian dalam usaha perikatan bagi memerangi ancaman pengganasan kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), kata Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen, hari ini, Isnin.
Beliau menyatakan demikian di luar acara pembukaan kemudahan latihan baru bagi askar udara SAF di Kem Pasir Ris.
"Para pegawai perancangan dan hubungan kami telah pergi ke Komand Pusat (Amerika Syarikat) untuk mengetahui keperluan misi dan saya ingin menyatakan reaksi kepada penglibatan kami adalah positif," kata Dr Ng.
Askar-askar Singapura akan beroperasi dari negara-negara yang berada di luar kawasan konflik dengan pasukan perikatan yang lain.
Ditanya tarikh bagi kerahan tersebut, Dr Ng berkata SAF akan menyelaraskan bersama usaha-usaha perikatan dan tiada tarikh khusus ditetapkan.
Semasa di Parlimen baru-baru ini, Dr Ng berkata bantuan Singapura itu termasuk mengerahkan pesawat tangki KC-135R dan pasukan analisis imejan.
Singapura tidak akan mengerahkan askar gempur.