SAF lantik Inspektor Jeneral, tekad jadikan budaya keselamatan amalan harian
Brigadier Jeneral (BG) Tan Chee Wee telah dilantik sebagai Inspektor Jeneral di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) untuk memantau keselamatan latihan, sebahagian tindakan yang diambil ekoran beberapa kematian semasa latihan baru-baru ini.
BG Tan, yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Operasi Bersama, secara serentak dilantik sebagai Ketua Turus-Turus Bersama, bermula Rabu (27 Feb) ini.
Kata BG Tan, antara matlamat yang diutamakannya ialah untuk menetapkan matlamat menjadikan lumrah bagi kakitangan SAF untuk bersuara apabila melihat amalan kurang selamat.
Berkongsi pandangan melalui transkrip wawancara yang dikongsi dengan media oleh Kementerian Pertahanan (Mindef), BG Tan berkata ‘keutamaan utamanya’ ialah untuk mengunjungi unit darat SAF untuk menilai keadaan budaya keselamatan dan membuat laporan terbuka, selain menilai sistem pemeriksaan keselamatan yang ada.
“Selepas mengumpulkan hasil tinjauan, saya akan memberi kepada Panglima Pasukan Pertahanan (CDF) usulan yang akan terus mempertingkat pengurusan keselamatan SAF, selain memperkukuh budaya keselamatannya,” kata BG Tan.
“Membuat laporan secara terbuka perlu menjadi lumrah bagi keselamatan, supaya askar dan komander kami berasa diperkasai dan komited berbuat demikian tanpa gerun dikenakan tindakan balasan,” ujar beliau.