SAF mula periksa, senggara kenderaan Terrex yang dipulangkan

ANGKATAN Bersenjata Singapura (SAF) memulakan pada Selasa (31 Jan) pemeriksaan ke atas sembilan kereta perisai Terrex yang dipulangkan ke Singapura pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata ia telah memulakan "pentadbiran pascalatihan menyeluruh" ke atas kenderaan pengangkut infantri Terrex itu dan peralatan lain.

Panglima Tentera Darat, Mejar Jeneral Melvyn Ong, hadir untuk melihat pemeriksaaan kebolehkhidmatan dan penyenggaraan kenderaan dan peralatan tersebut.

"Pentadbiran pascalatihan terperinci memerlukan beberapa hari untuk diselesaikan," kata Mindef.

Kenderaan Terrex itu tiba di Singapura pada 2.40 petang pada Isnin, lebih dua bulan selepas ia dirampas oleh Kastam Hong Kong pada 23 Nov.

Ketika itu, kenderaan tersebut sedang dibawa di atas sebuah kapal kontena kendalian syarikat komersial APL ke Singapura selepas latihan tentera SAF di Taiwan.

Laporan media sebelum ini berkata APL gagal menyediakan permit sesuai bagi kenderaan itu, yang direka dan dibuat di Singapura.

Pada 24 Jan, Ketua Eksekutif Hong Kong, Encik Leung Chun Ying, membalas surat awal Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk memberitahu bahawa pihak berkuasa Hong Kong telah menyelesaikan siasatan mereka dan akan melepaskan kenderaan Terrex itu serta peralatan lain.