SAFRA telah meraikan ulang tahun ke-50 bersama sukarelawan dan rakan korporat pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-50 Safra di Safra Mount Faber, kelmarin.
Majlis itu diserikan oleh tetamu terhormat Dr Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan dan Pengerusi, Lembaga Gabenor Safra.
Turut hadir ialah Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad, yang juga Presiden Safra, bersama beberapa presiden Safra yang lalu.
Semasa majlis itu, Dr Ng dan Encik Zaqy menyampaikan anugerah kepada individu dan organisasi atas khidmat dan sumbangan mereka terhadap Anggota Perkhidmatan Negara (NSmen).
Jumlah rekod 168 penerima telah diiktiraf tahun ini.
Untuk menandakan ulang tahun ke-50, Safra juga menganjurkan rangkaian inisiatif amal yang meluas bagi mengumpulkan lebih $800,000 untuk membantu mereka yang memerlukan.
Dana itu disalurkan ke arah membantu keluarga berpendapatan rendah, kanak-kanak yang terdedah dan mereka yang kurang upaya melalui inisiatif seperti Cabaran Presiden dan Dana Penjagaan Angkatan Bersenjata Singapura.
Dr Ng menjelaskan bahawa Safra telah dilancarkan dan dirasmikan 50 tahun lalu untuk mencapai dua objektif - untuk menunjukkan penghargaan kepada NSmen atas perkhidmatan mereka kepada Singapura; dan untuk memberikan rasa kekitaan dalam kalangan NSmen.
"Apa yang kami cuba adalah menyediakan kemudahan yang sama seperti yang diberikan oleh kelab persendirian dan eksklusif kepada ahli mereka, tetapi di Safra, konsepnya adalah untuk memberi kemudahan yang sama pada harga yang berpatutan, " Dr Ng berkata.
"Kami juga mahu memberikan rasa kekitaan di kalangan NSmen kepada Angkatan Bersenjata Singapura dan menyemai dalam diri mereka rasa bangga menjadi seorang NSmen, untuk membina ikatan dan perpaduan," tambahnya.
Hari ini, Safra mempunyai enam kelab di Singapura dan mempunyai hampir 475,000 ahli.
Kelab-kelab Safra menyediakan pelbagai kemudahan yang sepadan dengan kelab persendirian, sambil memastikan yuran keahlian Safra dimampui pada $40 setahun.
Lebih 3,000 ahli Safra dan keluarga mereka melawat setiap kelab Safra setiap hari dan kenam-enam kelab menarik lawatan purata lebih 7.1 juta setiap tahun.
Safra juga akan membuka kelab ketujuh di Choa Chu Kang tahun depan, yang bertemakan 'Oasis Kecergasan', dan akan menampilkan hab kecergasan serta kesejahteraan bersepadu, gelanggang futsal tertutup dan kolam renang tertutup.
Selain daripada menyediakan kemudahan rumah kelab, Safra juga terus memainkan peranan aktif dalam membina ikatan dan perpaduan di kalangan NSmen dan keluarga mereka.
Safra menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun, melibatkan lebih 1 juta NSmen dan keluarga mereka setiap tahun.
Dengan sokongan perniagaan dan organisasi, ahli Safra juga menikmati diskaun di lebih 2,000 kedai di Singapura, yang menawarkan penjimatan lebih besar kepada mereka sebagai menghargai perkhidmatan mereka kepada negara.
"50 tahun sejak ia dilancarkan, Safra telah memenuhi misinya dengan baik. Dengan input aktif, sumbangan sukarelawan NSmen dan sokongan daripada perniagaan dan masyarakat, saya yakin Safra boleh terus berkembang maju dalam dekad akan datang," kata Dr Ng.