Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Saingan kini merentas sempadan, Melayu harus bersiap bersaing

Jan 01, 2023 | 05:11 PM



PENDIDIKAN sepanjang hayat bukanlah satu gagasan yang baru, namun kepentingannya semakin menyerlah dalam dunia pasca Covid-19 dan sekitaran ekonomi serta sosio politik yang kian tidak menentu.



Jika dahulu menggenggam segulung ijazah mungkin menjadi kayu ukur perjalanan pendidikan seseorang, namun keadaannya kini sudah berubah.



Ijazah sahaja tidak semestinya menjamin kejayaan, sebaliknya masyarakat harus bersedia dan terbuka untuk sentiasa mendalami, meluas dan mempelbagai kemahiran.



Diminta mengulas mengenai cabaran bagi rakyat Singapura khususnya masyarakat Melayu/Islam sedang dunia melangkah ke tahun yang baru, pengamat politik, Encik Zulkifli Baharudin, berkata para pekerja harus prihatin mengenai impak perubahan luas dalam ekonomi dan pasaran kerja kepada mereka.



Mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) itu menjelaskan pendidikan yang ditambah nilai dengan pengetahuan dan kemahiran, rangkaian kenalan, dan pemikiran sejagat, akan dapat memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam sekitaran dunia yang kian mencabar.



Sehubungan dengan itu, Encik Zulkifli, yang juga Duta Singapura Tidak Bermastautin ke Kazakhstan dan Uzbekistan, menyentuh persaingan yang dihadapi masyarakat, yang menurutnya tidak lagi dengan masyarakat bukan Melayu di sini, malah pekerja global.



"Kini kita bukan bersaing dengan masyarakat Cina dan India setempat sahaja.



"Kita perlu sedar bahawa kemasukan warga asing yang berpengetahuan dan berpendidikan juga satu persaingan buat masyarakat Melayu.



"Berbekalkan pendidikan yang ditambah nilai dengan pengetahuan dan kemahiran, rangkaian kenalan yang luas, dan pemikiran sejagat, menjadikan seseorang itu lebih bersedia sebagai individu sejagat, mampu mengukuhkan kedudukannya apabila bekerja di luar negara, selaku ekspatriat yang bersaing di luar negara pula," kata beliau.



Pendidikan sepanjang hayat dan persaingan yang perlu ditangani masyarakat Melayu itu telah disentuh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dalam acara sambutan ulang tahun ke-40 Mendaki sempena bulan Raikan Ilmu 2022 baru-baru ini.



Menurut beliau pendidikan kini juga harus dilanjutkan kepada pembelajaran sepanjang hayat terutamanya bagi pekerja lanjut usia yang kurang berkelayakan sekali gus lebih berisiko.



"Pendidikan sekarang berlanjutan ke arah pembelajaran sepanjang hayat. Kerana para pekerja Melayu/Islam juga terjejas dengan perubahan sempadan dari segi ekonomi dan pasaran pekerjaan.



"Terutama para pekerja lanjut usia yang kurang berkelayakan yang lebih menghadapi risiko," kata Encik Lee.



Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore, Dr Mustafa Izzuddin, pula berkata pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam memainkan peranan penting untuk membantu masyarakat mengemudi landskap pekerjaan, ekonomi dan sosial dalam tahun-tahun mendatang.



Ini, pada pandangan beliau, perlu dilakukan dengan membangunkan pemikiran sejagat.



"Dalam melaksanakan program dan usaha di peringkat setempat, pertubuhan-pertubuhan Melayu/Islam kita harus membangunkannya dengan lensa global. Ini satu-satunya cara untuk memastikan impak yang berkekalan kepada kehidupan masyarakat kita," ujarnya.



Secara amnya, Dr Mustafa berkata bahawa masyarakat Melayu/Islam perlu mengharungi tahun ini dengan memanfaatkan pencapaian tahun lalu, didorong dengan keinginan untuk berfikiran sejagat, berusaha mendakap teknologi, dan meninggalkan kesan di peringkat setempat.



Dalam pada itu, Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik) dan Profesor Madya, di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Suzaina Kadir, menekankan terdapat sokongan di pelbagai peringkat termasuk di peringkat pemerintah untuk membantu masyarakat menangani cabaran-cabaran mendatang.



"Persoalannya, adakah masyarakat kita bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini?" ujar beliau.



Dr Suzaina menambah:



"Perubahan teknologi telah bergerak pantas dan ia tidak akan berhenti. Tapi dalam masa yang sama, peningkatan kemahiran pula masih perlahan, sekali gus kekal menjadi cabaran.



"Keadaannya jelas, kita berdepan dengan persaingan di peringkat serantau dan sejagat. Adakah kita sudah bersedia untuk bersaing?"



Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, pula melahirkan pandangannya bahawa masyarakat Melayu/Islam setempat tidak mempunyai pilihan selain bersedia untuk bersaing dengan bakat-bakat asing.



Lantas beliau menekankan, mereka yang enggan atau keberatan meningkatkan kemahiran dan tidak terbuka menyesuaikan diri kepada landskap baru akan "ditinggalkan di belakang".



Ini kerana di sebalik pelbagai cabaran yang merungsingkan, terdapat pelbagai peluang yang boleh direbut mereka yang bersedia bersaing dan bekerja keras.



"Bagi saya dunia masih boleh meraih peluang pasca pandemik Covid-19, di mana negara-negara akan membuka peluang ekonomi dan pelancongan.



"Justeru bagi masyarakat Melayu, ini merupakan persaingan di peringkat global.



"Pekerjaan di negara-negara maju terbuka untuk sesiapa, dan syarikat-syarikat di Spura juga mahu menarik bakat asing.



"Lantas masyarakat kita juga kita perlu bersedia untuk bersaing," katanya.



Peranan pertubuhan Melayu/Islam yang disentuh Dr Mustafa telah juga digariskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, dalam ucapannya di majlis 'Anugerah Jauhari Berita Harian' baru-baru ini,



Dalam ucapannya itu, Encik Wong, berkata semangat saling membantu dalam masyarakat Melayu/Islam akan dapat terus memacu kejayaannya.



"Idea saling membantu ini, dengan membantu satu sama lain untuk maju dan berjaya, bukan sesuatu yang baru.



"Kita telah menyematkannya dalam hati sanubari kita sebagi suatu pendekatan bagi membantu setiap rakyat Singapura dalam mengejar kecemerlangan dan kejayaan.



"Itulah sebabnya kita mempunyai banyak pertubuhan Melayu/Islam bekerja rapat dengan pemerintah bagi membantu dan meningkatkan taraf masyarakat di semua peringkat," kata Encik Wong.



Mengulas, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mendaki, Cik Aidaroyani Adam, berkata pihaknya menganggap pendidikan sebagai tumpuan utama dan akan terus menyokong masyarakat menerusi pelbagai programnya.



"Usaha-usaha ini adalah komitmen Mendaki dalam mengukuhkan dorongan kami kepada memberi khidmat bagi memenuhi keperluan masyarakat.



"Bersama rakan-rakan kami, Mendaki akan terus melengkapi usaha nasional bagi memperkasa masyarakat kita agar dapat berdaya usaha, berhubungan, menyesuaikan diri dan menjadi pelajar sepanjang hayat," katanya.



Usaha saling membantu ini juga ditekankan Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, yang menyatakan bahawa setiap seorang daripada kita perlu memanfaatkan kekuatan satu sama lain sebagai satu masyarakat.



Menurutnya kita perlu akur bahawa cabaran yang dihadapi anggota masyarakat kita semua berbeza.



Justeru adalah penting untuk kita semua bekerjasama bagi memastikan kesedaran dan persediaan yang sempurna bagi mereka yang dekat dengan kita, katanya,



"Landskap geopolitik sejagat masih tidak menentu dengan ketegangan antara Amerika Syarikat dengan China memuncak, pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dan pandemik Covid-19 yang berterusan.



"Meskipun dengan kos kehidupan yang meningkat, kita masih perlu berwaspada terhadap pengaruh yang akan memecah belahkan kita sebagai sebuah masyarakat dan negara.



"Kita perlu terus bekerjasama dan saling membantu menerusi pelbagai palform masyarakat," tambahnya.




Mengatasi Cabaran



"Saya rasa peperangan di Ukraine masih belum ada penyelesaiannya, dan ini tentu akan menimbulkan ketidakstabilan politik dunia. Satu lagi isu adalah percaturan kuasa besar AS dan China yg masih dilihat sebagai bersaing, dan bagaimana isu Taiwan akan terima tempias masih belum tahu.

Bagi saya dunia masih boleh meraih peluang pasca Covid, di mana negara-negara akan buka peluang ekonomi dan pelancongan."

- Dr Norshahril Saat, Zamil Kanan dan Penyelaras di Program Kajian Sosial dan Budaya Serantau, Iseas-Institut Yusof Ishak.




"Cabaran utamanya ialah kita perlu bersedia menghadapi kemelut ekonomi - inflasi, kemelesetan ekonomi.

Akan terdapat tekanan sebenar ke atas sektor teknologi, dan isu hilang pekerjaan akan meluas.

Saya jangkakan masyarakat Melayu/Islam akan terjejas teruk.

Adakah kita bersedia menghadapi cabaran-cabaran ini... Pemerintah telah buat persiapan seperti perlindungan bagi mereka dalam ekonomi 'gig' tapi ini hanya satu permulaan.

Perubahan teknologi telah bergerak pantas dan ia tidak akan berhenti. Tapi dalam masa yang sama, peningkatan kemahiran pula masih perlahan, sekali gus kekal menjadi cabaran."

- Dr Suzaina Kadir, Naib Dekan (Hal Ehwal Akademik) dan Profesor Madya, di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS).




"Masyarakat Melayu/Islam perlu terus mendidik dan memperkasa diri mereka dengan memanfaatkan teknologi digital termasuk kecerdasan buatan (AI), kerana jika tidak, berisiko ketinggalan tahun ini.

Masyarakat Melayu/Islam mesti mainkan peranannya untuk meluaskan kompak sosial domestik, bekerjasama dengan pemerintah bagi menghuraikan isu-isu sedia ada dan hasilkan peluang baru bagi peningkatan dan kemajuan."

- Dr Mustafa Izzuddin, Penganalisis kanan ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore.




"Kita perlu menerapkan minda yang membangun (growth mindset), terutama sekali dalam meneroka peluang-peluang yang baru, serta mencari rangkaian sokongan yang bermanfaat.

Mempunyai minda yang membangun juga dapat memperkasa diri kita dalam mengembangkan lagi kebolehan dan kemahiran kita, serta membantu kita dalam menangani sebarang kesukaran atau halangan langsung mengukuhkan lagi daya tahan kita."

- Encik Mohksin Rashid, Pengarah Eksekutif, AMP Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >