Saintis wanita ketuai unit sel tunjang Sekolah Perubatan Yong Loo Lin, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:43
Syuruk
7:01
Zuhur
1:06
Asar
4:19
Maghrib
7:11
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

BERITA

Saintis wanita ketuai unit sel tunjang Sekolah Perubatan Yong Loo Lin

Mar 06, 2021 | 05:30 AM

SEJAK Januari tahun ini, Dr Rufaihah Abdul Jalil telah mengetuai unit sel tunjang di Jabatan Pembedahan di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin di Universiti Nasional Singapura (NUS).

Di antara kajian yang sedang dijalankan ialah menggunakan teknologi sel tunjang dan bahan bio untuk penyakit tulang dan kardiovaskular.

Pada pandangan orang biasa, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) merupakan satu bidang kompleks untuk diceburi kaum wanita.

Namun bagi Dr Rufaihah, yang merupakan satu-satunya penolong profesor wanita di jabatan itu, berfikiran sebaliknya.

"Pada pendapat saya, tidak sukar bagi kaum wanita untuk menyertai bidang ini, dan jumlah penyelidik wanita dan lelaki adalah sama di dalam laluan penyelidikan di peringkat poskedoktoran," kata wanita berusia 42 tahun ini.

Berita Popular

Namun begitu, beliau akur jurang antara kaum wanita dengan lelaki terdapat di peringkat lebih tinggi.

"Sebagai satu-satunya penolong profesor wanita di jabatan ini, saya tidak mempunyai model contoh yang boleh membimbing saya sebagai seorang saintis wanita, dan kerap kali saya harus mencari rakan dari bidang serupa secara bersendirian di dalam persekitaran profesional."

Walaupun begitu, beliau berasa bertuah kerana mempunyai beberapa mentor lelaki yang bukan sahaja meluangkan masa mengajar teknik dan proses yang digunakan, malah turut berminat tentang kemajuan kerjaya untuk jangka masa panjang.

Untuk menggalak lebih ramai wanita, khususnya wanita muda Melayu/Islam, menceburi bidang itu, Dr Rufaihah berpendapat ia harus dimulakan dengan perubahan corak pemikiran masyarakat.

"Perubahan harus bermula di peringkat di mana kaum wanita yang berminat untuk menceburi bidang ini diberi sokongan kerana mereka mempunyai banyak peranan yang harus dilakukan."

"Selain itu, dasar kerja yang mesra keluarga juga harus dilaksanakan di dalam industri yang berkaitan dengan Stem, dan pada masa yang sama, laluan kerjaya bidang ini tidak harus terlalu tegas," tambah ibu dua anak kembar perempuan yang berumur enam tahun dan seorang lagi anak perempuan berusia tiga tahun.

Menurut Dr Rufaihah lagi, ilmu sains dan matematik harus dititikberatkan, dan pendedahan kepada aktiviti berkaitan subjek Stem adalah penting kerana melaluinya mereka dapat menghargai proses pembelajaran dan meningkatkan kecenderungan terhadap bidang itu.

Di tengah-tengah kesibukan beliau sebagai penolong profesor, Dr Rufaihah, mantan anggota lembaga pengarah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), juga berbakti kepada masyarakat dengan mengongsi ilmu dan pengalamannya kepada mereka, terutama sekali kaum wanita yang ingin menceburi bidang itu.

Selain diundang menyampaikan ceramah tentang perjalanan beliau sebagai saintis wanita, beliau juga menjadi mentor kepada pelajar posmenengah yang berminat meneroka mahupun berkecimpung dalam bidang itu.

Melaluinya, anak-anak muda yang berminat dalam bidang itu akan mengetahui tentang realiti kerja, motivasi dan juga pengorbanan yang diperlukan, kata lulusan Sarjana Muda dalam Sains Gunaan (Bioteknologi) dari NUS.

"Adalah penting untuk saintis wanita, khususnya yang muda, untuk memandang wanita lain sebagai mentor dan pemimpin di dalam bidang yang mereka ceburi, kerana ini adalah satu cara untuk membina keyakinan diri demi mencapai apa yang diinginkan,'' ujarnya.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map