SKIM Tuisyen Mendaki (MTS) akan memperkenalkan saiz kelas tuisyen lebih kecil untuk murid darjah 4 dan 5 sebagai usaha mempertingkatkan mutu dan keberkesanan skim itu.
Mulai tahun ini, nisbah guru dan pelajar adalah satu guru bagi lapan pelajar, berbanding satu guru bagi 15 pelajar, umum Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim, semalam.
Nisbah guru dan pelajar lebih rendah itu sudah diperkenalkan untuk peringkat kritikal atau yang bakal menduduki peperiksaan utama iaitu darjah 6, menengah 4 dan 5, sejak 2013.
Mendaki akan membelanjakan sebanyak $2.6 juta bagi usaha itu - jumlah tertinggi pernah dibelanjakan bagi mempertingkatkan skim tersebut, kata Dr Yaacob.
Semasa ditemui selepas acara pembuka tirai MTS bagi 2015 di Sekolah Rendah Boon Lay Gardens, Dr Yaacob menjelaskan dengan jumlah pelajar yang lebih kecil dalam sebuah kelas, keadaan itu mewujudkan sekitaran pembelajaran yang lebih fokus.
"Kita dapati selama ini MTS telah menunjukkan keberkesanan yang diinginkan di mana kita dapati prestasi beberapa pelajar dalam peperiksaan telah meningkat.
"Dengan tumpuan lebih terperinci, kita dapat menolong mereka terutama bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan seperti peringkat 'O' dan 'N', kami mahu menolong mereka sedaya mungkin," ujarnya.