Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Fandi: Hijrah ke Pahang keputusan paling sukar

Sep 16, 2022 | 05:30 AM



KEPUTUSAN Fandi Ahmad memilih untuk ke Sri Pahang FC adalah satu keputusan yang amat sukar baginya kerana beliau telah menetapkan komitmen untuk keluarganya.



Ketika beliau memutuskan untuk menamatkan kontrak pada 30 Jun lalu sebagai Ketua Belia Elit FAS, Fandi menyatakan hasratnya untuk meluangkan lebih banyak masa bersama keluarganya.



Apabila beliau ditawarkan sebagai Ketua Jutulatih Pahang, beliau menolaknya dan hanya mahu menggalas tanggungjawab sebagai Penasihat Teknikal.



"Pahang menawarkan saya sebagai Ketua Jurulatih. Saya terpaksa menolaknya kerana memerlukan komitmen penuh dari segi masa dan tenaga.



"Saya mahu kontrak yang agak longgar sesuai dengan keadaan saya untuk berulang alik ke Singapura.



"Mendengar penjelasan saya, Tengku Muda Pahang setuju untuk saya hanya menjadi Penasihat Teknikal,'' ujar Fandi yang ditemui Berita Harian (BH) di Kuantan, Pahang baru-baru ini.



Setelah Fandi menolak, Sri Pahang FC mendapatkan khidmat bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk Dollah Salleh, untuk mengambil alih tugas daripada Christophe Gamel yang tidak diteruskan khidmatnya.



Selain Pahang, Fandi berkata beliau mendapat beberapa tawaran menjadi jurulatih di luar negara seperti di Indonesia.



Namun beliau memilih Pahang kerana bukanlah asing kepadanya. Ini kerana beliau pernah menyarung jersi Tok Gajah selama dua musim dan merupakan anggota pasukan.



Fandi merupakan salah seorang daripada pemain yang menganggotai skuad Pahang ketika muncul selaku juara Liga Premier dan Piala Malaysia 1992 yang mana Datuk Dollah turut merupakan sandaran utama pasukan.



Sejak tiba di Kuantan, Fandi menetap di sebuah hotel bertaraf lima bintang di bandar Kuantan.



Di bilik hotel inilah, beliau merancang persediaan yang lebih rapi untuk pasukan Sri Pahang FC mengharungi saingan dalam Liga Super.



"Saya tidur agak lewat hampir setiap malam seperti menonton video pasukan lawan, mengkaji corak permainan, merancang strategi permainan, mengetahui kelemahan lawan dan sebagainya. Setelah melakar strategi, saya serahkan kepada Dollah Salleh untuk membuat keputusan mengatur permainan," ujar Fandi.



Namun, katanya, bukan beliau seorang sahaja yang membuat keputusan permainan tetapi secara bersama termasuk jurulatih Datuk Haji Ahmad Yusof dan Ahmad Shaharuddin Rosdi.



Datuk Dollah turut mengakui kehadiran bekas penyerang legenda Fandi itu banyak membantu mengembalikan kekuatan serta kebangkitan Sri Pahang FC.



Fandi yang pernah mengendali beberapa pasukan antaranya JDT, skuad kebangsaan Singapura dan pasukan pembangunan Singapura Young Lions, sekali gus membawa Sri Pahang memenangi empat perlawanan, satu seri dan tewas sekali dalam Liga Super.



Menurut Fandi, setelah tamat permainan, beliau hanya akan pulang ke Singapura setelah tiada komitmen permainan atau setelah beberapa hari habis permainan atau terdapat waktu rehat Liga Super.



Di Singapura beliau akan meluangkan masa bersama keluarga dan membawa isterinya, Wendy Jacobs, atau nama Islamnya Nur Sarah Abdullah, ke hospital untuk rawatan.



Beliau akan pulang ke Singapura sama ada dihantar oleh pemandu peribadi atau menaiki pesawat.



"Saya pernah pulang bersama peminat Singapura yang menyaksikan perlawanan Pahang menentang Melaka. Saya tumpang kereta mereka ke Singapura.



"Di sini saya rasa amat dihargai dan saya akui saya gembira di sini. Bukan sahaja orang-orang Pahang menghormati saya tetapi peminat Singapura masih mengunjungi saya di sini,'' katanya.



Fandi akui, setelah menjalani latihan, hampir setiap malam ada sahaja peminat atau rakan-rakan bola sepak yang mengajaknya keluar makan malam atau berkaraoke.



"Dulu apabila sampai di Pahang, berat badan saya 82 kilogram, kini telah naik dua kilogram.



"Inilah tanda-tanda hidup saya sibuk bukan saja kerana bola sepak tetapi kerana mesranya peminat di Pahang,'' katanya.



Namun begitu, dalam berjauhan dari Singapura, beliau masih merindui kerja-kerja ceramah motivasi yang pernah beliau lakukan di Singapura.



Fandi pernah dipelawa untuk memberikan ceramah motivasi seperti di beberapa kementerian pemerintah seperti Penguasa Tanah Singapura (SLA), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), masjid, madrasah serta sekolah.



Setiap sesi sekitar 100 hingga 1,000 peserta menyertai ceramah motivasi yang disampaikan oleh Fandi.



Dalam ceramah tersebut, beliau berkongsi dengan para peserta tentang pengalamannya dalam bola sepak demi menggalakkan kejayaan dan mengembangkan rasa motivasi yang lebih tinggi kepada peserta.



Bagi Fandi, menetapkan matlamat yang jelas adalah sangat penting kerana ia mampu meningkatkan motivasi kendiri.



"Semasa di Pahang, menjalani rutin hidup yang menyeronokkan mampu membawa pelbagai kebaikan kepada diri saya.



"Ia juga dapat mengurangkan kebimbangan dan membantu memperbaiki tahap kesihatan dan mental kita supaya menjadi lebih baik.



"Itulah yang saya terapkan dalam ceramah motivasi di Singapura.



"Kini saya cuba meningkatkan rasa yakin diri dan motivasi di kalangan para pemain Sri Pahang, sama seperti ketika saya memberikan ceramah motivasi di Singapura,'' ujar Fandi.




LUAHAN HATI FANDI



"Saya sentiasa mahukan kehidupan dalam bola sepak, bukan gaya hidup."



"Sekitaran bola sepak di Singapura okey tetapi jika anda mahu menjadi ahli sukan profesional, terutama dalam bola sepak, anda mesti keluar negara semasa muda."



"Penghormatan itu datang dengan banyak pengorbanan. Ia bukanlah satu perjalanan yang mudah; setiap detik dalam kerjaya saya adalah penting dalam membentuk saya."



"Semasa di Pahang, menjalani rutin hidup yang menyeronokkan mampu membawa pelbagai kebaikan kepada diri saya. Ia juga dapat mengurangkan kebimbangan dan membantu memperbaiki tahap kesihatan dan mental kita supaya menjadi lebih baik.''



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >