SATU pasangan kekasih warga Singapura telah ditangkap di Johor Bahru, Malaysia, ketika sedang bercuti selepas si lelaki menikam teman wanitanya di bahagian punggungnya.
Mereka berdua kemudian diuji positif mengambil dadah.
Lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai menggunakan pisau untuk menikam temannya berusia 29 tahun di punggung kanannya, kata ketua polis Kamarul Zaman Mamat.
Beliau mendedahkan demikian semasa persidangan media yang berlangsung di ibu pejabat polis negeri di Johor semalam, lapor The Star.
Pesuruhjaya Kamarul Zaman berkata polis menerima laporan pada awal pagi Selasa lalu, dan memberi respon ke atas kejadian itu yang berlaku di sebuah apartmen di Taman Mount Austin pada sekitar 4.30 pagi.
"Pasangan itu sedang menyewa sebuah unit di apartmen tersebut untuk menetap di situ buat beberapa hari," katanya.
"Namun, mereka berkelahi dan suspek lelaki berusia 34 tahun itu kemudian menikam teman wanitanya.
"Kedua-dua suspek diuji positif mengambil dadah."
Beliau menambah, pasangan tersebut telah didakwa di mahkamah.
Pasangan itu dituduh atas penggunaan dadah serta menyebabkan kecederaan dengan senjata berbahaya.