Subuh
5:57
Syuruk
7:14
Zuhur
1:18
Asar
4:28
Maghrib
7:19
Isyak
8:29
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Salah seorang dalang kes curi minyak gas dari Shell Bukom dipenjara 29 tahun

Apr 02, 2022 | 06:34 PM



SALAH seorang dalang konspirasi besar melesapkan minyak gas daripada kemudahan Shell Eastern Petroleum di Pulau Bukom dihukum penjara 29 tahun pada Khamis lalu.



Hukuman yang dikenakan ke atas Juandi Pungot, 45 tahun, itu adalah antara tempoh jel paling panjang dikenakan atas jenayah komersial.



Pada Februari lalu, Juandi yang mula mencuri bahan api marin itu daripada bekas majikannya pada 2007, mengaku bersalah melenyapkan 203,403 tan minyak gas bernilai $128 juta.



Dalam menjatuhkan hukuman pada Khamis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Cik Hoo Sheau Peng, berkata kesalahan itu memberi tamparan hebat pada industri pengisian bahan api dan petrokimia, yang merupakan tunggak ekonomi Singapura.



“Kesalahan berskala besar seperti ini tidak pernah berlaku dahulu. Tempoh kesalahan yang dilakukan juga agak panjang. Sebuah sindiket yang canggih terlibat. Pembeli luar negara juga terlibat,” katanya.



Juandi adalah salah seorang daripada tiga pemain utama yang ditangani pihak berkuasa kerana peranannya dalam konspirasi yang berlanjutan antara 2007 hingga 2018 untuk mengalihkan secara haram minyak gas daripada kemudahannya kepada beberapa kapal.



Tapak di Pulau Bukom itu adalah pusat pengeluaran dan eksport petrokimia terbesar di rantau Asia Pasifik.



“Kesalahan ini semua dirancang terlebih dahulu, diatur dan secara canggih dikendalikan. Dengan mengeksploit pengetahuan mendalam tentang sistem Shell, yang tertuduh dan rakan yang bersekongkol dengannya dapat menyembunyikan kesalahan mereka bagi tempoh panjang yang berlanjutan,” ujar Hakim Hoo.



Langkah yang diambil termasuk mengatur pengaliran minyak gas bagi mengelakkan laluan dengan meter peralihan yang dijaga. Ini menunjukkan kelicikan dalam mengelak pengesanan kesalahan itu, tambah Hakim Hoo.



“Usaha mereka menyembunyikan perbuatan mereka jelas berbaloi kerana Shell perlu melabur usaha yang agak banyak untuk mendapatkan semula kehilangan minyak yang tidak dapat diperjelaskan,” kata Hakim Hoo lagi.



Pada Februari, Juandi mengaku bersalah di atas 20 tuduhan pecah amanah.



Kesalahan ini melibatkan lapan pengkomplot yang merupakan rakan sekerjanya pada waktu itu yang kesemuanya sudah didakwa.



Mereka terdiri daripada pegawai muatan pantai Muzaffar Ali Khan, Koh Choon Wei dan Tiah Kok Hwee; teknisyen proses Cai Zhizhong, Muhammad Ashraf Hamzah, Muhamad Farhan Mohamed Rashid dan Sadagopan Premnat; serta spesialis pengadunan Quek Rong Hong.



Tiga daripada mereka sudah dijatuhkan hukuman dengan kesalahan masing-masing.



Ashraf dihukum penjara 9½ tahun, Sadagopan dikenakan hukuman enam tahun lapan bulan manakala Farhan pula sedang menanti hukuman dijatuhkan.



Kapten atau kru kapal asing yang turut mengaku bersalah adalah Nguyen Duc Quang, Doan Xuan Than, Dang Van Hanh dan Pham Van Ban.



Juandi juga mengaku bersalah di atas enam kesalahan memberi rasuah kepada enam juruukur bebas agar mereka tidak melaporkan kesalahannya itu serta 10 lagi tuduhan pengubahan wang haram.



Lagi 49 tuduhan serupa diambil kira sewaktu hukuman dijatuhkan.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >