Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SALAM AIDILFITRI

Isteri, ibu, tunggak keluarga, masyarakat: Peranan penting wanita tidak dapat dinafi

Rahayu, Nadia dalam podcast #NoTapis Beraya
May 03, 2022 | 05:30 AM



Semangat satu hati kaum Hawa yang ingin memperkasa kaum sejenisnya begitu membara terasa dalam perbincangan podcast edisi khas Raya #NoTapis Beraya kendalian Berita Harian. Sambil berkongsi kenangan manis berlebaran dan peranan penting wanita dalam memenuhi keperluan keluarga di musim perayaan, Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin turut diajak mengupas pelbagai isu wanita yang menjadi keprihatinan dalam Kertas Putih Mengenai Pembangunan Wanita Singapura. Ikuti perkongsian mereka bersama BERITA HARIAN.




WANITA Melayu/Islam di Singapura merupakan tunggak institusi keluarga mahupun masyarakat yang mampu menggalas pelbagai peranan lantas tidak boleh diketepikan kepentingannya yang begitu menyerlah dalam membuat persiapan sempena Lebaran.



Di sebalik segala stereotaip yang masih berakar umbi di minda sesetengah masyarakat mengenai peranan kaum Hawa dek tradisi dan kebiasaan, bentuk pemikiran ini secara beransur-ansur boleh diubah bermula pada skala kecil-kecilan di peringkat keluarga.



Dengan pembentangan dan perbahasan Kertas Putih Mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang mendapat sokongan sebulat suara di Parlimen baru-baru ini, harapan memartabatkan lagi kedudukan wanita dalam pelbagai lingkungan sosial tampak cerah dengan pelbagai usulan mampu direalisasikan.



Inilah antara teras perbincangan sesi podcast edisi khas Hari Raya, #NoTapis Beraya terbitan Berita Harian yang disertai Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam dan Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin.



Perbincangan kertas putih yang menyusuli sambutan Tahun Merai Wanita SG tahun lalu itu membentangkan pelan tindakan bagi 10 tahun mendatang dalam menangani keprihatinan golongan wanita serta memenuhi aspirasi mereka.



Lima aspek yang menjadi tumpuan adalah peluang saksama di tempat kerja, pengiktirafan dan sokongan buat pengasuh, perlindungan dari keganasan dan bahaya (termasuk dalam talian), langkah sokongan buat wanita dan peralihan bentuk pemikiran.



DILEMA TUGAS DAN AMANAH DI RUMAH



Ketika diminta mengulas mengenai kedudukan wanita Melayu/Islam hari ini, Cik Rahayu menyatakan ia tidak jauh beza dari wanita di peringkat nasional.



"Kita akan lihat sekumpulan wanita yang telah mencapai jauh dan memecah siling kaca dalam sektor-sektor membangun.



"Ada kelompok wanita pula yang memerlukan dorongan untuk maju dan berani bertapak, misalnya, untuk keluar bekerja kerana situasi yang agak mencabar. Misalnya ada yang masih bergelut dengan isu keganasan dalam keluarga atau masalah lain.



"Terdapat stereotaip tertentu berkaitan dengan tradisi kita yang perlu kita fikir kembali dan perbaiki serta galakkan kaum Hawa kita untuk mengusahakan sesuatu yang lebih progresif."



Merujuk pada satu kajian yang dijalankan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Nadia pula menjelaskan bahawa dapatan kajian itu mencerminkan kebimbangan yang dihadapi wanita Melayu yang terjerat dengan dilema mengimbangi aspirasi di tempat kerja dan di rumah.



"Kajian itu menekankan betapa pentingnya untuk kita atasi stereotaip negatif berkait dengan wanita yang ingin pertingkatkan diri dengan keluar bekerja dan membangun kerjaya," jelasnya.



SOALAN STEREOTAIP MASIH WUJUD



Dalam sembang podcast itu, Cik Nadia menarik perhatian mengenai soalan-soalan yang sering muncul ketika kunjung-mengunjung semasa Lebaran dan menggambarkan stereotaip tentang wanita yang masih terikat di minda sesetengah masyarakat Melayu.



"Antara soalan yang akan diajukan kepada wanita yang belum bertemu jodoh adalah 'Mengapa belum nak kahwin ke?'. Selepas dah kahwin, ditanyanya pula, 'Belum nak ada anak ke?' Kalau dah dapat seorang anak, 'Mengapa satu anak sahaja? Tak nak lebih ke?'



"Apabila ada ramai anak, nanti ditanya 'Mengapa terlalu ramai anak ni?' Bagi saya, setiap wanita ada aspirasi berbeza. Mungkin ada yang belum bertemu jodoh yang sesuai manakala ada yang hidup susah dan tertumpu pada amanah menyokong ibu bapa atau nak fokus pada kerjaya dahulu.



"Yang belum ada anak, kita tak tahu jika mereka menghadapi kesulitan kerana masalah kesuburan.



"Soalan-soalan sebegini menyinggung perasaan sehinggakan ada yang stres dan tak selesa nak kunjung-mengunjung ke rumah orang sewaktu Hari Raya lagi. Selepas dua tahun tak buat demikian kerana Covid-19, nampaknya perlu lalui satu lagi pusingan soalan cepumas Hari Raya nanti," ujar Cik Nadia.



Beliau akur ada yang bertanya kerana niat yang baik dan atas rasa prihatin tetapi diharapkan wanita tidak dinilai tahap kejayaannya jika mereka bukan isteri atau bukan ibu.



Merujuk pada pengalaman peribadinya yang berkahwin pada usia lewat, menanti lama untuk menimang cahaya mata dan memilih untuk tidak mempunyai anak lagi, Cik Rahayu tahu pertanyaan mereka itu datang dari rasa sayang dan amat peduli serta keinginan melihat dirinya bahagia dengan cahaya mata.



"Pada tempoh saya belum hamil, ramai yang mendoakan sehingga ada yang memegang perut saya sehingga buat saya tak selesa.



"Daripada kita langsung nak marah apabila diajukan soalan sebegini, kita boleh mengambil peluang mendidik dengan baik dengan membuka ruang konstruktif berkongsi bagi memberi pendedahan buat mereka yang tidak faham kesulitan atau pendirian kita. Misalnya, 'Saya bukan tak nak kahwin tetapi saya mampu jaga diri saya dan berdikari," ujar Cik Rahayu.



PERUBAHAN PEMIKIRAN DAN PERANAN MULA DARI RUMAH



Kededua Cik Rahayu dan Cik Nadia berpendapat perubahan tanggapan dan pendirian mengenai peranan wanita atau lelaki boleh dimulakan dari rumah.



Sejak kecil, Cik Nadia melihat bapanya membantu ibunya dalam persiapan Hari Raya seperti membeli sendiri keperluan dapur jika ia sudah kehabisan.



"Ibu bapa saya saling membantu. Membuat persiapan Raya adalah tugasan bersama. Pendidikan mengenai perkongsian tugas ini bermula dari rumah," jelasnya.



Cik Rahayu pula berharap kebiasaan wanita menjadi 'orang dapur' dalam kenduri-kendara juga dapat diubah sekali-sekala dengan kaum Adam juga boleh membantu meringankan beban dengan berkongsi tugas di dapur ini.



KIAN RAMAI PEMIMPIN WANITA MELAYU



Dalam pada itu, Cik Rahayu tumpang bangga dengan pencapaian wanita Melayu/Islam yang menggalas amanah dalam pucuk pimpinan di institusi agama seperti masjid, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan Mahkamah Syariah.



"Kita lihat kian ramai wanita dalam jawatankuasa masjid. Di Mahkamah Syariah, Presiden Kanan dan Presidennya adalah wanita. Ini menggambarkan anjakan pemikiran siapa yang harus menerajui kepimpinan.



"Dalam sektor teknologi dan kewangan atau bidang yang sedang berkembang, masyarakat kita masih perlu pertingkat usaha menambah jumlah pemimpin, beri peluang wujudnya kerencaman yang membawa pada peningkatan lebih baik dan ubah pemikiran mengenai peranan wanita dalam kepimpinan.



"Bahkan dalam hal kepimpinan ini, kita boleh raih inspirasi daripada pelantikan Presiden Halimah Yacob. Pemilihan beliau sahaja menunjukkan ia mampu dicapai. Sesuatu yang saya senangi mengenai masyarakat Melayu kita adalah kita saling meraikan kejayaan masing-masing. Kita bukan masyarakat yang besar tetapi kita tumpang bangga dan gembira atas pencapaian ini dan ingin lakukan yang lebih baik lagi," jelas Cik Rahayu.



GALAK WANITA KEMBALI BERTUGAS DENGAN FLEKSIBILITI TUGAS



Cik Rahayu juga berharap program bagi menggalak wanita kembali ke tempat kerja yang sedia ada dapat dimanfaatkan sepenuhnya meskipun ia makan masa untuk mendorong dan meyakinkan sesetengah wanita berbuat begitu kerana rasa tidak yakin menebal setelah lama tidak bekerja atau terikat pada tuntutan tugas di rumah.



"Akan ada seribu satu sebab yang wanita ini berikan untuk tidak dapat bekerja. Kita perlu beri mereka sokongan dari segi emosi dan motivasi di mana mereka berani keluar dari kepompong kehidupan mereka.



"Apa yang saya biasanya berkongsi dengan wanita ini adalah kelebihan apabila mereka keluar bekerja di mana ia akan menyumbang pada kemampuan mereka menghantar anak ke tuisyen dan meraih manfaat lebih banyak berbanding cabaran yang dihadapi.



"Bagi pihak majikan pula, mereka harus faham bagaimana membantu menyokong pekerja dalam keperluan keluarga dengan inisiatif prokeluarga," jelasnya.



Sehubungan dengan ini, Cik Nadia pula berharap majikan akan lebih bersifat fleksibel dengan pekerjaan boleh dilakukan wanita dari rumah untuk mendorong mereka mencari rezeki, ketetapan yang diamalkan dalam tempoh pandemik.



"Saya tahu untuk bekerja atau tidak adalah pilihan masing-masing tetapi saya harap apa yang kita amalkan selama dua tahun ini dengan bekerja dari rumah misalnya tidak terbuang begitu sahaja dengan fleksibiliti boleh diberikan majikan demi keseimbangan amanah di kerja dan di rumah. Jangan kita kembali ke era sebelum pandemik. Mana yang baik, teruskan," kata Cik Nadia.




PANDANGAN DAN SARANAN



KEDUDUKAN WANITA MELAYU TIDAK BERBEZA DENGAN WANITA DI PERINGKAT NASIONAL



"Kita akan lihat sekumpulan wanita yang telah mencapai jauh dan memecah siling kaca dalam sektor-sektor membangun.



Ada kelompok wanita pula yang memerlukan dorongan untuk maju dan berani bertapak, misalnya, untuk keluar bekerja kerana situasi yang agak mencabar. Misalnya ada yang masih bergelut dengan isu keganasan dalam keluarga atau masalah lain.



Terdapat stereotaip tertentu berkaitan dengan tradisi kita yang perlu kita fikir kembali dan perbaiki serta galakkan kaum Hawa kita untuk mengusahakan sesuatu yang lebih progresif."
- Setiausaha Parlimen (Kesihatan merangkap Perhubungan dan Penerangan), Cik Rahayu Mahzam



WANITA KERJA DARI RUMAH: HARAP MAJIKAN LEBIH FLEKSIBEL



“Saya tahu untuk bekerja atau tidak adalah pilihan masing-masing tetapi saya harap apa yang kita amalkan selama dua tahun ini dengan bekerja dari rumah misalnya tidak terbuang begitu sahaja dengan fleksibiliti boleh diberikan majikan demi keseimbangan amanah di kerja dan di rumah. Jangan kita kembali ke era sebelum pandemik. Mana yang baik, teruskan.’’
– Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Ahmad Samdin.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >