Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

WAWANCARA SEMPENA SETAHUN SANDANG JAWATAN

Saling hormat biarpun jika ada perbezaan fahaman

Nov 06, 2016 | 05:30 AM



PERBEZAAN fahaman dalam kehidupan beragama Muslim di sini tidak bermasalah, bahkan masyarakat Melayu/Islam telah sekian lama hidup harmoni dalam kepelbagaian tersebut, tegas Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Menurutnya, yang penting ialah masyarakat menghormati satu sama lain dan tidak membenarkan diri mereka dipengaruhi konflik sejarah dan politik yang berlaku di negara lain.



"Apabila kita mengimport konflik sejarah yang berlaku di rantau jauh di sana ke rantau kita ini yang selama ini telah hidup harmoni dengan kepelbagaian, mulalah percanggahan berlaku dalam hidup sosial kita," tegasnya.



Encik Masagos berkata demikian sambil melahirkan keprihatinan beliau mengenai bagaimana segolongan kecil masyarakat berpendirian tegar menerima kepelbagaian itu - termasuk kepelbagaian dalam masyarakat Melayu/Islam sendiri.



"Kita dahulu tidak prihatin apakah mereka mazhab lain... kita masih mesra dengan mereka, kita masih menganggap mereka teman ataupun saudara.



"Sekarang kita masukkan amalan sebagai kriteria kita mencari teman, mencari sahabat dan kadangkala berakrab sebagai keluarga.



"Hinggakan kalau ada perbezaan cara kita memahami agama atau menjalankan amalan agama, kita tidak mahu menziarahi keluarga kita sendiri. Ini sesuatu yang amat tidak baik," ujar beliau.



Encik Masagos menerangkan, 'fenomena' ini berlaku sejak tahun 1979 apabila Iran mengisytiharkan negaranya sebagai Republik Islam, sekali gus menyebabkan negara jiran, Arab Saudi, berasa kurang senang dengan adanya adikuasa baru di rantau itu.



"Masalah adikuasa politik antara Iran dan Saudi menghasilkan adikuasa antara agama... antara Syiah dan Wahabi atau Salafi. Hingga kedua-dua fahaman agama ini keluar dari rantau itu, menyebarkan fahaman mereka hingga ke rantau ini.



"Ramai yang kemudian mengikut fahaman Syiah dan ada yang tidak pernah memegang haluan Salafi atau Wahabi juga mula terpengaruh dengan guru mereka yang belajar di sana, menyebarkan fahaman tersebut di sini," ujar Encik Masagos.



Encik Masagos memberi amaran, sikap kurang toleransi kepada kepelbagaian itu berupaya menghasilkan pandangan yang ekstrem dan jika tidak berhati-hati ia boleh mula 'menghalalkan' cara pengganasan untuk mencapai matlamat mereka seperti yang telah berlaku di negara lain.



"Ini tidak boleh berlaku di Singapura," tegas beliau.



Sehubungan itu, Encik Masagos berkata masyarakat perlu terus melahirkan ulama daripada madrasah tempatan yang mampu membimbing Muslim di sini menjadi masyarakat yang damai dan menyumbang kepada agama, bangsa dan negara.



"Mereka mungkin belajar di serata dunia. Tetapi kalau mereka ada dasar agama yang kukuh, mereka tahu akan bagaimana menyesuaikan amalan agama di negara kita yang majmuk, terbuka dan moden.



"Mereka boleh lakukan ini tanpa mengurangkan nilai pegangan moral yang kuat hinggakan kita mampu menghasilkan satu model Muslim minoriti Islam yang boleh dibanggakan dan diandalkan di serata dunia," ujar beliau.



Memandang ke depan, beliau ingin melihat Melayu/Islam terus berintegrasi dengan masyarakat Singapura yang lebih besar.



Menurutnya, sedang masyarakat kian kuat pegangan agamanya, ini tidak bermakna Melayu/Islam "semakin terperuk daripada hidup dengan masyarakat lain".



"Semakin kita menjadi orang Islam yang baik tidak bermakna kita semakin menjauhi dan semakin mengasingkan diri daripada masyarakat lebih besar.



"Sebaliknya kita harus menjadi masyarakat yang lebih diandalkan dan berguna kepada negara kita," katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >