Saling memahami kunci warga, pendatang baru hidup harmoni

TIDAK beberapa lama dahulu, Encik Razali Puasa terlihat sekumpulan pelanggan bertengkar di sebuah pusat penjaja makanan.

Tiga warga Indonesia duduk di meja yang telah 'dirizab' oleh seorang warga Singapura. Mereka kurang faham bahawa peket tisu yang diletakkan di meja itu adalah tanda meja itu telah 'berpunya'. Sangka mereka, tisu itu untuk kegunaan sebarang pelanggan, kata Encik Razali.

"Tiga warga Indonesia itu tidak boleh berbahasa Inggeris... warga Singapura itu tidak memahami bahasa Indonesia... justeru mereka bertengkar," ujar Encik Razali.

"Mujurlah, saya berada berhampiran mereka dan berpeluang menerangkan keadaan kepada kededua pihak," ujar Encik Razali, yang berkata beliau mempelawa warga Indonesia itu duduk semeja dengannya dan menggunakan peluang itu dengan berkongsi serba sedikit tentang adat dan kebiasaan di Singapura.

Bagi Encik Razali, warga Singapura dan pendatang baru boleh hidup gembira bersama jika kededua pihak bersikap saling cuba memahami dan menjiwai semangat gotong-royong.

"Dahulu, semasa Singapura masih dipenuhi kampung-kampung, ramai penduduk hidup bergotongroyong... dan mereka tidak berfikir dua tiga kali jika perlu membantu seseorang yang memerlukan pertolongan.

"Pendatang baru juga perlukan bantuan kita... bagi menyesuaikan diri dengan adat, budaya dan amalan kita di sini. Justeru, kita boleh menghulurkan tangan dan memperdalam pengetahuan dan pemahaman mereka tentang Singapura," ujar Encik Razali, 37 tahun.

"Pada masa yang sama, pendatang baru juga boleh memainkan peranan dan bersikap proaktif dengan mengenali budaya dan adat di sini. Pada saya, satu cara yang baik adalah dengan menyertai kegiatan akar umbi di estet-estet perumahan," tambahnya, seorang anggota Jawatankuasa Penduduk (RC) Toa Payoh East-Novena dan Majlis Integrasi Persatuan Rakyat (PA).

Berbekal tekad mahu membantu dan berkongsi adat dan amalan setempat dengan pendatang baru, Encik Razali mula berkhidmat dengan Jawatankuasa Integrasi dan Pewarganegaraan (IN) Toa Payoh East-Novena sejak sekitar lima tahun lalu.

Menurutnya, penduduk yang ditemuinya menerusi kegiatan IN menunjukkan sebahagian warga yang dilahirkan di sini dan juga pendatang baru kurang faham akan budaya dan amalan masing-masing.

"Justeru, kami menumpukan usaha menggalakkan warga Singapura dan pendatang baru yang tinggal di estet yang sama agar menyertai kegiatan akar umbi bersama.

"Pertemuan seperti ini menyediakan wadah tidak rasmi, atau santai bagi mereka berinteraksi, sambil melaksanakan sesuatu tugas bersama," kata Encik Razali, yang berkata beliau gembira dapat berkongsi tentang adat di Singapura, sementara mempelajari adat dan kebiasaan orang di tempat lain.

Sejak beberapa tahun lalu, Encik Razali, bersama Jawatankuasa IN Toa Payoh East-Novena menganjurkan beberapa projek masyarakat bagi membantu golongan kurang berada - termasuk warga tua yang hidup seorang diri - di estet perumahan itu.

Tahun lalu, beliau membantu menganjurkan Sesi Bual Kosong yang bertujuan menyediakan ruang santai bagi pendatang baru dan warga Singapura berinteraksi.

Encik Razali juga pernah menganjurkan acara membuat 'pinata' - pepatung haiwan berisi gula-gula dan kudapan - yang dikendalikan oleh 30 sukarelawan berbilang bangsa, termasuk warga dan Penduduk Tetap baru.

Acara yang turut dijayakan oleh Persatuan Mexico di Singapura itu disertai lebih 60 warga tua dan kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pada 2017, seramai 50 pendatang baru dan warga Singapura juga bekerjasama dengan mengunjungi Hospital Masyarakat dan Rumah Jagaan Ren Ci bagi sesi interaksi dengan penghuninya.

Beberapa tahun lalu, Encik Razali, yang gemar berbasikal, juga memulakan kelab berbasikal yang menganjurkan acara berbasikal mengelilingi estet perumahan yang disertai peserta berbilang bangsa, termasuk pendatang baru.

Kata Encik Razali, kegiatan-kegiatan yang dianjurkannya, melebihi unsur kebajikan dan sukan, bertujuan memperdalam hubungan antara pendatang baru dengan warga Singapura.

"Memupuk persefahaman (antara pendatang baru dengan warga Singapura) adalah satu proses jangka panjang yang memerlukan kesabaran dan sikap bertoleransi.

"Kita perlu terus memperdalam hubungan dengan satu sama lain, tidak kira pendatang baru atau orang lain, supaya kita bersedia membantu satu sama lain apabila kerjasama masyarakat diperlukan," katanya.

  • Rencana ini dihasilkan dengan sokongan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI).

"Memupuk persefahaman (antara pendatang baru dengan warga Singapura) adalah satu proses jangka panjang yang memerlukan kesabaran dan sikap bertoleransi.
Kita perlu terus memperdalam hubungan dengan satu sama lain, tidak kira pendatang baru atau orang lain, supaya kita bersedia membantu satu sama lain apabila kerjasama masyarakat diperlukan."

- Encik Razali Puasa yang menganjurkan kegiatan, menerusi kelab berbasikalnya, melebihi unsur kebajikan dan sukan, bertujuan memperdalam hubungan antara pendatang baru dengan warga Singapura.

Waktu Solat

Subuh
5:58
Syuruk
7:17
Zuhur
1:20
Asar
4:37
Maghrib
7:21
Isyak
8:32
3 HR PSI: 47
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.