PANDANGAN

Saling timbang rasa penting bagi kongsi laluan

BERSAMA skuter elektrik yang disewa, saya meronda-ronda di sekeliling kawasan One-north dan Buona Vista pada sekitar 9 pagi.

Ketika itu, orang ramai sedang berpusu-pusu ke pejabat.

Majoriti berjalan kaki, namun ada juga yang mengikuti jejak saya menunggang alat mobiliti peribadi (PMD).

Walaupun mod "pengangkutan" berbeza, namun kami semua serupa, mengongsi laluan pejalan kaki.

Sepanjang setengah jam beraksi sebagai seorang pengguna PMD, saya perhatikan pelbagai tingkah laku pejalan kaki serta pemandu kenderaan terhadap pengguna alat ini.

Bagusnya, kebanyakan laluan pejalan kaki di kawasan itu agak lapang dan luas.

Cukup bagi pejalan kaki dan pengguna PMD untuk mengongsi ruang jalan yang sama.

Namun, ada juga beberapa laluan lurus di sana.

Semasa melalui salah satu laluan itu, saya terpaksa menunggang lalu seorang wanita yang sedang menggunakan telefon bimbitnya manakala seorang lagi sedang menolak kereta bayi.

Melihat mereka dari jauh, saya kurangkan had kelajuan PMD tapi tidak berhenti mahupun turun dan tolak alat saya.

Sebaliknya, mereka yang berhenti ke tepi untuk memberikan saya laluan.

Memikirkan kembali detik itu, rasa bersalah dan terlalu mementingkan diri sendiri.

Sepatutnya saya yang memberikan mereka laluan jalan.

Itukan laluan pejalan kaki.

Apabila saya menghampiri seorang mahupun sekumpulan pejalan kaki, kebanyakan daripada mereka akan cuba ke tepi dan berikan laluan kepada si pengguna PMD.

Mungkin sebab takut dilanggar meskipun saya menunggang pada had kelajuan tidak lebih daripada 10 kilometer sejam.

Sikap "bertimbang rasa" pejalan kaki itu saya dapati agak "pelik".

"Pelik" sebab pejalan kaki kini telah mengubah mentaliti mereka untuk lebih berwaspada dan melindungi diri daripada terkena kemalangan yang melibatkan PMD.

Yalah, ruang yang sepatutnya selamat untuk pejalan kaki kini sudah hilang unsur keselamatannya.

Selain pejalan kaki, saya juga perhatikan pemandu kenderaan juga lebih berjaga-jaga dengan adanya PMD.

Seorang pemandu kenderaan yang keluar dari perhentian teksi berhenti dan berikan saya laluan untuk melintas jalan raya.

Ini biarpun ia adalah hak laluannya untuk memandu.

Beliau mungkin takut terlanggar pengguna PMD, tanya saya kepada diri sendiri.

Apakan tidak dengan pelbagai laporan mengenai pengguna PMD yang memecut, melebihi had kelajuan yang ditetapkan.

Lantas, tidak dinafikan, sedikit sebanyak penggunaan PMD telah mengubah landskap pengangkutan di Singapura yang memaksa orang ramai untuk mematuhi dan menyesuaikan diri kepada keperluan alat itu.

Si pejalan kaki terpaksa "bertimbang rasa".

Si pemandu kenderaan juga terpaksa "bertimbang rasa".

Tapi, si pengguna PMD pula tidak ada keinginan untuk "bertimbang rasa" ke?

Inilah yang saya ingin tekankan mengenai isu penggunaan PMD di Singapura iaitu adab penggunanya.

Kemalangan tidak akan berlaku jika semua pengguna PMD memegang niat untuk mengutamakan keselamatan diri sendiri dan mereka di sekeliling.

Pemerintah tidak perlu menguatkuasakan Akta Mobiliti Aktif jika semua penggunanya menunggang PMD secara berhemah.

Bagi saya, dalam hal ini, alat itu tidak bersalah.

Adab si pengguna yang sebenarnya bermasalah.

Saya benar-benar takut akan landskap pengangkutan Singapura pada masa akan datang.

Dulu, basikal.

Sekarang, PMD.

Besok, lusa?

Tidak kira apa alat yang ditunggang, pesanan saya adalah selagi kita mengongsi laluan pejalan kaki, tanggungjawab untuk menunggang secara berhemah dan selamat tetap harus dipikul si pengguna.

Yalah, sampai bila pejalan kaki asyik harus bertimbang rasa sahajakan?

  • Penulis ialah wartawan Berita Harian/Berita Minggu