PILIHAN RAYA PRESIDEN

Salleh Marican ambil borang permohonan

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Second Chance Properties, Encik Salleh Marican, mengambil borang permohonan semalam bagi bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, orang Melayu pertama yang berbuat demikian menjelang pilihan raya khas bagi calon Melayu September ini.

Encik Salleh, 67 tahun, yang diiringi isterinya, Cik Sapiyah Abu Bakar @ Maria, dan adiknya, Encik Hasan Marican, tiba di Jabatan Pilihan Raya di Prinsep Street sekitar 11.15 pagi.

Rombongan itu keluar daripada bangunan tersebut sekitar 15 minit kemudian.

Walau akur 'rintangan pertama' adalah mahu meyakinkan Jawatankuasa Pilihan Raya (PEC) bahawa beliau layak bertanding, Encik Salleh berkata beliau yakin permohonannya akan diluluskan.

"Bagi saya, kriteria $500 juta terlalu diberi penekanan, dengan hampir semua orang berfikir bahawa seseorang tidak harus membuang masa (untuk memohon) jika tidak memenuhi kriteria ini.

"Namun, jika anda membaca Akta (Akta Pilihan Raya Presiden), ia menyatakan dengan jelas bahawa seseorang itu layak, asalkan beliau berjaya meyakinkan PEC bahawa beliau layak mengendalikan syarikat $500 juta dan anda berkeupayaan melaksanakan peranan presiden dan berupaya melaksanakan dengan berkesan tanggungjawab pejabat itu," ujar Encik Salleh.

Menurutnya, sebagai seorang peniaga, beliau tidak membezakan cara penilaian yang dilaksanakannya apabila membeli sesuatu.

"Jika saya ingin membeli kedai berharga $2 juta, atau yang berharga $20 juta, proses pemikiran saya sama - dalam menilai buruk baik pembelian itu - ia tidak bermakna saya perlu memiliki keupayaan 10 kali ganda (untuk membeli kedai $20 juta)," kata Encik Salleh.

Tambah beliau, sebagai peniaga yang berjaya, beliau memiliki kecerdasan emosi (EQ) dan keupayaan membuat pertimbangan yang baik - dua sifat yang diperlukan seseorang presiden.

Bakal calon yang ingin bertanding bagi Pilihan Raya Presiden Khas perlu memohon dua sijil - Sijil Kelayakan daripada PEC dan Sijil Masyarakat daripada Jawatankuasa Masyarakat.

Tempoh permohonan, yang dibuka pada 1 Jun, ditutup pada hari kelima selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan Perdana Menteri pada lewat Ogos.

Berdasarkan perubahan pada Perlembagaan November lalu, calon presiden daripada sektor swasta perlu menyandang jawatan ketua eksekutif syarikat yang memiliki sekurang-kurangnya purata $500 juta ekuiti pemegang saham, bagi tiga tahun terkini.

Ekuiti pemegang saham Second Chance Properties dalam tempoh tiga tahun terkini adalah antara $254.3 juta dengan $263.25 juta - lebih rendah daripada kriteria itu.

Namun, PEC berkuasa membenarkan pemohon yang tidak memenuhi kriteria itu untuk bertanding, jika ia berpuas hati bahawa pemohon tersebut cukup berpengalaman dan berkeupayaan melaksanakan tanggungjawab jawatan Presiden.