Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PEMBEBASAN WARGA SINGAPURA YANG DITAHAN BAWAH ISA

Tunjuk kemajuan baik semasa jalani pemulihan, 2 rakyat SG radikal sendiri kini dibebas

Dec 15, 2021 | 05:30 AM



DUA warga Singapura yang sebelum ini menjadi radikal sendiri telah dibebaskan dari tahanan pada Ogos lalu selepas dinilai tidak lagi merupakan ancaman keselamatan yang memerlukan tahanan pencegahan.



Mereka adalah Muhammad Shamin Mohamed Sidek dan Mohamed Omar Mahadi, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) dalam satu kenyataan semalam.



Muhammad Shamin, 35 tahun, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Ogos 2015 selepas beliau didapati merupakan penyokong tegar ISIS di Iraq dan Syria dan sanggup berjuang dan mati demi kumpulan itu, menurut ISD.



Beliau dibebaskan pada Ogos lalu di bawah Perintah Tahanan (RO).



RO mengawal pergerakan seseorang. Misalnya, mereka tidak dibenarkan menukar tempat tinggal atau pekerjaan dan tidak boleh keluar Singapura tanpa mendapatkan kelulusan daripada pengarah ISD.



Mereka juga tidak boleh mengakses Internet, memberi kenyataan awam; bercakap di mesyuarat awam; mencetak, menyebar atau menyumbang kepada sebarang penerbitan; atau memegang jawatan dan menjadi anggota sebarang pertubuhan, persatuan atau kumpulan tanpa mendapatkan kelulusan pengarah ISD.



Sementara itu, Mohamed Omar, 38 tahun, ditahan di bawah ISA pada Ogos 2016 selepas didapati ingin berjuang di samping kumpulan ISIS.



Beliau juga dibebaskan pada Ogos lalu di bawah Arahan Penggantungan (SD). Ini merujuk kepada arahan menteri untuk menggantung perintah tahanan, dengan syarat tertentu.



Sebagai contoh, Mohamed Omar dilarang bergaul dengan mana-mana kumpulan militan atau pengganas atau individu, dan beliau tidak dibenarkan meninggalkan negara tanpa kebenaran bertulis daripada pengarah ISD terlebih dahulu.



Arahan penggantungan boleh dibatalkan oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan individu yang dibebaskan boleh ditahan semula jika beliau tidak mematuhi mana-mana syarat yang ditetapkan.



Menurut ISD, kedua-dua Muhammad Shamin dan Mohamed Omar "telah menunjukkan kemajuan baik semasa menjalani pemulihan".



Mengulas tentang perkembangan tersebut Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Professor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata:



"Pembebasan dua tahanan ISA itu menggariskan peranan penting sukarelawan masyarakat daripada Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dan Kumpulan Penjagaan Lanjut Antara Agensi (ACG) dalam menyokong pemulihan agama dan sosial Singapura.



"Kerjasama mereka yang berharga dengan pemerintah adalah penting untuk menjayakan program pemulihan dan penyepaduan semula kami.



"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada RRG dan ACG atas dedikasi dan usaha mereka untuk menjaga keamanan di Singapura," kata Dr Faishal.



Beliau turut menghargai usaha pegawai ISD yang telah bertungkus lumus di belakang tabir untuk meneutralkan ancaman keselamatan terhadap Singapura.



"Bersama-sama rakan masyarakat komuniti, mereka juga telah melaksanakan program yang mantap dan holistik untuk memulihkan dan mengintegrasikan semula individu yang telah ditangani di bawah ISA.



Dalam pada itu, ISD turut mengumumkan RO terhadap enam lagi tahanan berakhir antara Jun dengan bulan lalu.



Mereka adalah Mohamad Rizal Wahid, 41 tahun; Shakirah Begam Abdul Wahab, 27 tahun; Mohammad Razif Yahya, 33 tahun; Muhammad Harith Jailani, 24 tahun; Adzrul Azizi Bajuri, 23 tahun dan Munavar Baig Amina Begam, 42 tahun.



Menurut ISD, mereka juga telah menunjukkan kemajuan baik semasa menjalani pemulihan.



Mohamad Rizal dikenakan RO pada Jun 2017 yang dibenarkan luput pada Jun 2021.



Manakala itu, Shakirah, Mohammad Razif dan Muhammad Harith dikenakan RO pada Ogos 2017 yang dibenarkan luput pada Ogos 2021.



Adzrul Azizi pula dikenakan RO pada September 2017 yang dibenarkan luput pada September 2021.



Sementara itu, Munavar dikenakan RO pada November 2019 yang dibenarkan luput pada November 2021.




SALURAN BANTUAN



Orang ramai digesa laporkan kepada pihak berkuasa jika kenali sesiapa yang tunjuk tanda radikalisasi



• Hubungi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) di 1800-2626-473



• Atau hubungi Muis menerusi talian 6359-1199 atau Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) menerusi talian 1800-774-7747 jika punya pertanyaan tentang agama



• Mereka juga boleh sertai sesi bimbingan bersama Rangkaian Belia Asatizah (AYN) di Masjid Al-Falah di Orchard Road



Buat janji temu menerusi talian 6235-3172




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >