JUMLAH saman yang dikeluarkan kepada mereka yang merokok di kawasan umum HDB tahun lalu meningkat lebih seganda berbanding 2019 ekoran penguatkuasaan lebih ketat.
Ini turut disebabkan lebih banyak maklum balas yang diberikan orang ramai menyusuli kegiatan tersebut, lapor akhbar The Straits Times (ST).
Dalam satu kenyataan pada Khamis (4 Feb) Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata 1,090 tiket saman telah diberikan kepada mereka yang merokok di kawasan umum seperti di koridor, landasan tangga dan di lobi lif.
Bilangan tersebut meningkat 112 peratus berbanding 2019, kata NEA.
NEA menambah, insiden pembuangan sampah dari tingkat tinggi yang ditangkap dalam kamera juga meningkat 80 peratus tahun lalu.
Perangkaan tersebut lebih tinggi disebabkan perubahan dari segi penguatkuasaan dan pengerahan sumber.
Perubahan itu dilaksanakan menyusuli lebih banyak maklum balas yang diberikan orang ramai sedang lebih ramai orang bekerja dari rumah ekoran pandemik Covid-19. - ST