Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sambut Raya bersama warga kurang upaya

Jun 12, 2019 | 05:30 AM



SENYUMAN yang terukir pada wajah golongan orang kurang upaya sewaktu menyambut Aidilfitri.



Itulah saat indah yang dinantikan penasihat mentor Persatuan Belia Bedok untuk Insan Kurang Upaya (BYSD), Encik Hazizi Abu Bakar, setiap kali menjelangnya Hari Raya.



"Apabila melihat mereka tersenyum, itu juga buat saya tersenyum. Detik itu menyentuh hati saya," ujarnya, ketika dihubungi baru-baru ini.



Encik Hazizi, yang telah menyumbang tenaga kepada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) itu sejak 1996, bersyukur setiap kali meraih peluang menyebarkan keceriaan Aidilfitri kepada golongan tersebut.



Katanya, pengalaman itu sering menjadikan sambutan Lebaran lebih lengkap dan bermakna.



"Kepuasan yang saya perolehi adalah daripada membantu orang memerlukan dan membawa kegembiraan dalam kehidupan mereka.



"Itulah satu-satunya sebab saya jadi relawan BYSD," kata usahawan berusia 47 tahun itu.



Menurutnya, sambutan Hari Raya di BYSD diraikan menerusi pelbagai cara.



Antaranya ialah perjumpaan Hari Raya anjuran rakan kongsi luar persatuan itu seperti Pos TKI dan Masjid Alkaff Upper Serangoon.



Ahli BYSD yang menghadiri majlis disajikan hidangan Raya dan dihiburkan dengan persembahan serta karaoke. Sambutan itu lazimnya diadakan pada minggu ketiga atau penghujung Syawal.



"Ada juga antara relawan kami tahun lalu yang menyambut Hari Raya bersama warga kurang upaya sehari sebelum tibanya Syawal," katanya.



Usaha tersebut diadakan agar warga seperti Encik Muliana Sairi, yang cacat penglihatan dan tinggal sendirian di Toa Payoh, mampu merasai suasana Aidilfitri bersama keluarga.



"Mereka menjemput Encik Muliana di rumah lalu membawanya ke rumah mereka untuk menjamu selera pada malam Raya. Pada pagi Raya, relawan menemaninya menunaikan solat Aidilfitri di masjid," ujarnya.



Majlis Hari Raya BYSD misalnya pernah diadakan di Kampong Bedok pada 2016. Namun, sejak beberapa tahun lalu, sambutan diadakan secara kecil-kecilan.



Ini disebabkan terdapat banyak undangan ke sambutan Aidilfitri anjuran rakan kongsi persatuan itu, menurut Encik Hazizi.



Tahun ini, mereka juga akan meraikan Raya bersama warga kurang upaya yang menyertai kelas agama kendalian BYSD.



Encik Hazizi turut berkongsi pengalaman peribadi menyambut Raya bersama mereka.



Beliau pernah terlibat sebagai relawan dalam rancangan saluran Mediacorp Suria berjudul Raya Istimewa.



Rancangan tersebut mengubah elok kediaman keluarga warga kurang upaya sempena Hari Raya pada 2015.



"Ia satu perasaan dan pencapaian luar biasa. Bayangkan hampir 24 jam kami berusaha membersihkan dan menghias rumah mereka.



"Tapi, apabila nampak mereka merangkak di ruang lapang dalam rumah sebelum ini penuh dengan barangan, rasa penat itu sangat berbaloi," ujarnya.



Bagi keluarga tersebut, itu kali pertama mereka menyambut Raya seperti keluarga lain.



Pengalaman membawa secebis kegembiraan dalam hidup keluarga itu antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan Encik Hazizi sepanjang 'kerjaya' relawannya.



"Saya rasa sangat beruntung meraih peluang bekerja bersama orang kurang upaya, berkongsi kegembiraan bersama mereka.



"Saya berharap lebih ramai orang akan tampil membantu," ujar bapa dua anak perempuan itu, mengakhiri wawancara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >