Sambutan baik warga ke arah gaya hidup sihat

Peralihan minda dalam membudayakannya kini diperlukan

WARGA setempat termasuk masyarakat Melayu telah memberi respons menggalakkan kepada pelbagai usaha yang diperkenal bagi membantu mereka mengamalkan gaya hidup lebih sihat, sama ada menerusi pemakanan mahupun dalam meningkatkan kecergasan.

Namun, lebih banyak yang perlu dilakukan, terutama bagi masyarakat Melayu, dan ini memerlukan peralihan minda supaya gaya hidup sihat dapat dibudayakan dalam masyarakat, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin.

Dalam wawancara eksklusif dengan Berita Harian (BH), Encik Amrin berkata meskipun kesedaran tentang masalah kesihatan kian disambut baik, kadar mereka yang dibelenggu masalah masih membimbangkan.

Justeru, penyakit kencing manis kekal menjadi kebimbangan kesihatan serius di Singapura.

Dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja, satu daripada enam orang berusia 18 tahun hingga 69 tahun menghidap kencing manis, menurut Tinjauan Kesihatan Nasional 2010.

Ini jauh lebih tinggi berbanding purata kebangsaan iaitu hampir satu dalam sembilan penduduk Singapura menghidap penyakit tersebut.

Selain kencing manis, bilangan penduduk Melayu yang menghidap penyakit lain seperti kadar kolestrol dan tekanan darah tinggi, yang kekal lebih tinggi berbanding purata kebangsaan, terus menjadi keprihatinan, kata Encik Amrin.

"Faktor utama yang menyumbang kepada gaya hidup kurang sihat ini termasuk tabiat pengambilan makanan yang tidak sihat, merokok serta kurangnya kegiatan fizikal.

"Dalam menangani masalah kesihatan ini, ia perlu juga diiringi usaha berterusan dalam menerapkan gaya hidup yang lebih sihat," ujarnya.

Justeru, Encik Amrin menambah, sejak beberapa tahun lalu, pemerintah telah memperkenal program serta daya usaha bagi meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya mengamalkan gaya hidup sihat yang berterusan.

Mengulas mengenai peralihan minda itu, Encik Amrin berpendapat ia dapat dijalankan menerusi kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan (MOH) dan badan kemasyarakatan.

"Kalau anda lihat, perkara utama yang mahu kita lakukan dengan memperkenalkan program serta daya usaha yang pelbagai adalah dengan memperkasakan diri serta mengambil berat terhadap kesejahteraan individu dan keluarga mereka.

"Jadi, apa yang telah dilakukan pemerintah dalam menangani isu kesihatan semuanya berkait," katanya.

Menyentuh tentang tabiat pemakanan dalam kalangan rakyat Singapura, Encik Amrin berkata sekitar 60 peratus penduduk keluar makan sebanyak empat kali seminggu dan setiap seorang menikmati makanan yang mengandungi sekitar 700 hingga 800 kalori.

Ini, menurutnya, disebabkan "semakin ramai anggota masyarakat kita yang berpendapatan lebih tinggi" dan "mampu membawa keluarga makan di luar".

"Jadi, ini mungkin antara perkara yang menyebabkan kita kurang dapat mengawal diet harian kita. Oleh sebab kita tidak menyediakan hidangan ini sendiri, kita dapat pilih bahan yang digunakan.

"Kalau dahulu kita makan nasi padang atau nasi beriani hanya pada hari-hari istimewa, sekarang ia menjadi kebiasaan. Oleh itu, ini satu perubahan yang sangat ketara," tegasnya.

LAPORAN LANJUT: 


"Kalau anda lihat, perkara utama yang mahu kita lakukan dengan memperkenalkan program serta daya usaha yang pelbagai adalah dengan memperkasakan diri serta mengambil berat terhadap kesejahteraan individu dan keluarga mereka. Jadi, apa yang telah dilakukan pemerintah dalam menangani isu kesihatan semuanya berkait."
- Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Amrin Amin.


ANTARA PERKEMBANGAN

DIET & MAKANAN

1) Lebih daripada 1,300 operator makanan dan minuman, termasuk restoran nasi padang dan 100 syarikat katering Halal sertai Program Pemakanan Sihat

2) Sepanjang empat bulan bermula April lalu, kempen "Kita Dah Cukup Manis, Kurangkan OK?" berjaya mendekati masyarakat Melayu dalam memberi kesedaran tentang kebaikan mengurangkan penggunaan gula dalam minuman

3) HPB mengagihkan lebih daripada 2,000 kilogram beras perang dan lebih daripada 56,000 minuman kurang manis kepada 21 masjid seluruh Singapura

SENAMAN

1) Lebih daripada 3,000 peserta menyertai program 'Gerak Gelak' sejak ia diperkenalkan pada Julai 2018

2) Daya usaha 'Get Fit For Haj/ Umrah' berjaya mendapat lebih 1,900 penyertaan sejak September tahun ini

ROKOK

1) Seramai 1,700 perokok menyertai program 'Ramadan I Quit' yang dianjurkan pada Ramadan tahun ini

2) Antara Jun dengan Oktober lalu, HPB bekerjasama dengan 23 masjid di bawah program 'Jaga Kesihatan, Jaga Ummah' (JKJU) untuk menjayakan daya usaha "Puff for a Puff"