Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENYAMBUT DEEPAVALI

Sambutan berbilang resmi keluarga Vikram Nair

Oct 18, 2017 | 05:30 AM



BUAT kali pertamanya sejak menyambut Deepavali sebagai isteri Anggota Parlimen (AP) Vikram Nair, Cik Faye Nair akan pergi ke kuil Hindu pagi Deepavali ini untuk bersembahyang.



Walaupun Cik Nair penganut Buddha, beliau berkata tidak salah baginya pergi ke kuil demi memberi penghormatan kepada perayaan Deepavali yang disambut penganut Hindu.



"Saya merancang ke kuil Sri Siva Krishna pagi Deepavali untuk bersembahyang. Ini kali pertama saya ke kuil pada Deepavali dan saya sangat teruja mahu ke sana," kata Cik Nair, 40 tahun.



Ini tahun ketiga beliau menyambut Deepavali.



Mereka berkahwin pada 2015 dan kini bergelar ibu bapa kepada puteri tunggal, Indira, yang akan berusia dua tahun menjelang 31 Oktober ini.



Ketika ditemui di kediaman mereka di Woodlands Ahad lalu, pasangan itu berkata sambutan Deepavali mereka bersama anak sederhana sahaja dan tidak begitu tradisional.



Encik Nair, 39 tahun, AP bagi GRC Sembawang, berkata:



"Keluarga bapa saya beragama Hindu manakala keluarga ibu pula Kristian. Isteri saya penganut Buddha dan ibu mentua Katolik. Deepavali tetap diraikan, tetapi lebih kepada keluarga bapa.



"Selepas datuk dan nenek sebelah bapa meninggal dunia dan dua beradik perempuannya berpindah ke luar negara, kami tidak begitu formal meraikan Deepavali bersama keluarga."



Namun, beliau berkata Deepavali tetap disambut secara sederhana bersama keluarga, sahabat handai dan masyarakat.



Tahun ini, keluarga Encik Nair akan mengadakan sambutan 'dua-dalam-satu' - meraikan ulang tahun bapanya yang jatuh sekitar Deepavali.



"Dulu dalam keluarga saya, ada banyak perkara yang dilakukan pada Deepavali, tetapi kini kami makan-makan sahaja.



"Kami menikmati juadah istimewa seperti beriani. Saya suka bermacam-macam makanan India, namun kegemaran saya ialah beriani kambing dan pencuci mulut 'payasam'," kata Encik Nair.



Pada sebelah pagi hari ini, Encik Nair terlibat dalam acara di kawasan undinya, apabila salah seorang peniaga di pasar yang dikenali sebagai Encik Bala akan mengagihkan makanan kepada penduduk memerlukan.



Sepanjang bulan ini, beliau akan mengunjungi rumah rakan dan saudara bagi memenuhi undangan rumah terbuka mereka.



Amalan kunjung-mengunjung itu serupa dengan apa yang dilakukan orang Melayu semasa Hari Raya dan orang Cina semasa Tahun Baru Cina, kata Encik Nair.



"Ini perkara yang unik di Singapura. Dalam kalangan orang India juga ada pemberian duit sampul semasa musim perayaan, serupa amalan orang Melayu dan Cina. Kami juga ada tradisi rumah terbuka dan kunjung-mengunjung ke rumah kenalan," katanya.



Menariknya, Encik Nair hanya akan memakai pakaian tradisional ketika menghadiri acara kemasyarakatan. Beliau mengenakan pakaian biasa ketika pergi ke sambutan Deepavali keluarga.



Cik Nair bagaimanapun tidak sabar ingin menggayakan anak mereka Indira dengan pakaian tradisional India.



"Menjadi sebahagian keluarga India bermakna saya dapat memakai pakaian orang India yang sememangnya cantik dan menarik. Tahun ini juga saya dapat melihat anak memakai pakaian Deepavali yang sungguh comel dan cantik," kata Cik Nair.




SEKILAS



LATAR BELAKANG PERAYAAN



- Deepavali, atau Diwali, juga dikenali sebagai Pesta Cahaya. Hari kebesaran penganut Hindu ini lazimnya berlangsung antara pertengahan Oktober dengan pertengahan November.



- Acara tersebut menandakan kemenangan pihak kebaikan atas kejahatan dan cahaya mengatasi kegelapan.



- Walaupun Deepavali perayaan Hindu, orang India penganut Sikh dan Jain turut menyambutnya.



- Persiapan menyambut Deepavali bermula jauh lebih awal - rumah dibersihkan, pakaian baru dibeli dan manisan seperti halwa dan ladu serta cemil-cemilan berempah seperti muruku disediakan.



SEKITAR PERAYAAN



- Semasa Deepavali, laluan masuk ke rumah dihias 'diya', iaitu lampu minyak, dan 'kolam', iaitu corak rumit diperbuat daripada tepung beras berwarna-warni.



- Selain menjadi hiasan pintu rumah, 'kolam' dianggap amal kerana memberi makan burung dan serangga.



- 'Diya' diletakkan dekat pintu rumah bagi menarik 'tenaga baik' dan tuah.



- 'Diya' zaman dulu kini digantikan bal lampu elektrik beraneka warna.



- Pada pagi Deepavali, penganut Hindu, kebanyakannya dari India Selatan, bangun awal untuk mandi minyak.



- Mandi minyak Deepavali dipercayai membawa nilai sama dengan bermandi dalam Sungai Ganga yang dianggap suci di India.



- Pakaian baru dipakai pada Deepavali sekali gus melambang permulaan baru dan harapan seseorang mahu menjadi orang lebih baik.



- Penganut Hindu lebih suka memakai warna terang pada Deepavali. Mereka elak warna hitam yang lazimnya dikaitkan dengan kematian dan dianggap tidak bertuah.



- Upacara keagamaan dilakukan di tempat pemujaan keluarga dalam rumah pada pagi Deepavali. Anggota keluarga lebih muda akan memberi penghormatan kepada anggota lebih tua.



- Mereka kemudian mengunjungi kuil sebelum melawat saudara-mara dan sahabat.



- Ada penganut Hindu memilih tidak memakan daging pada Deepavali.



Sumber: Singapore Infopedia




Berhibur dengan tarian, lukisan inai di Istana sempena Deepavali



PEKARANGAN Istana akan dibuka kepada orang ramai sempena Deepavali hari ini dari 8.30 pagi sehingga 6 petang.



Pejabat Presiden dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata orang ramai akan dihiburkan dengan persembahan muzik Kelab Masyarakat (CC) Yuhua; CC Moulmein-Cairnhill; Sekolah Tinggi Nan Hua; Sekolah Rendah Canossian St Anthony's; dan Sekolah St Patrick's.



Terdapat juga persembahan tarian pelajar Kumpulan Tarian Kampung Chai Chee Charathanatyam.



Kegiatan menarik lain termasuk pertunjukan burung oleh Wildlife Reserves Singapore; pertunjukan belon Kelab Riadah Singtel; lukisan inai oleh Cognizant; dan lukisan muka oleh Cosmoprof.



Orang ramai juga boleh menyertai lawatan berpandu di Istana bagi meninjau flora dan fauna di sekitarnya atau mengunjungi bangunan utama.



Pengunjung boleh memilih lawatan tanpa pemandu menggunakan aplikasi telefon bijak Istana Garden Walk.



Masuk percuma buat warga dan Penduduk Tetap, sementara warga asing dan pelancong perlu membayar $2 setiap seorang.



Bayaran tambahan dikenakan bagi lawatan berpandu.



Lawatan diadakan setiap jam dari 10 pagi hingga 4 petang.



Hasil penjualan cenderahati akan didermakan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >