Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

Sambutan Deepavali 'berganda' bagi pasangan muda

Nov 14, 2020 | 05:30 AM



SEKATAN ekoran Covid-19 menghambat rancangan Encik Gouthaman Haridass dan Cik Jayasutha Samuthiran mengadakan majlis perkahwinan yang gah, namun pasangan itu meneruskan pernikahan mereka pada Ogos lalu.



Kini, tiga bulan kemudian, mereka tambah gembira dapat meraikan sambutan Deepavali hari ini sebagai pasangan suami isteri buat pertama kali.



Cik Jayasutha berkata sambutan Deepavali tahun ini adalah "dua kali ganda cinta, dua kali ganda keseronokan" sebab beliau meraikan perayaan itu bersama keluarga yang lebih besar.



Berkongsi kisah mereka mendirikan rumah tangga dan membolehkan mereka menyambut Deepavali sebagai suami isteri, pasangan itu asalnya merancang perkahwinan yang gah dan meriah dengan ratusan hadirin menyaksikan mereka di pelamin.



Tetapi impian itu terhambat dek Covid-19.



Namun Encik Gouthaman, 31 tahun, dan pasangannya Cik Jayasutha, 29 tahun, tetap ingin mengongsi hari bahagia mereka bersama lebih ramai kenalan.



Encik Gouthaman menimbulkan idea untuk membawa majlis pernikahan mereka kepada rakan taulan yang tidak dapat hadir kerana hanya maksimum 50 orang dibenarkan menghadiri majlis perkahwinan.



Justeru, setelah selesai urusan pernikahan di bawah Pejabat Pendaftaran Perkahwinan (ROM) di Kuil Holy Tree Sri Balasubramaniar pada 23 Ogos lalu, pasangan pengantin baru itu berkunjung ke 21 tempat berbeza di serata Singapura.



Sambutan itu berlarutan selama lebih 12 jam.



Encik Gouthaman, seorang rakan kanan dalam inovasi dan fintech di DBS, berkata: "Seperti majlis perkahwinan lain, semua orang ingin hadir dan meraikannya. Justeru, saya fikir kenapa tidak kami bawa majlis kepada rakan-rakan memandangkan kami sudah pun memakai baju kahwin dan majlis pernikahan selesai pada waktu pagi."



Majlis ROM itu yang berlangsung pada 9 pagi dihadiri 30 orang - sebahagian besarnya adalah anggota keluarga - disusuli dengan jamuan tengah hari.



Mulai 2 petang, pasangan itu menaiki kereta untuk ke 21 lokasi mengunjungi rakan taulan.



Dengan bantuan rakan-rakan, "majlis bergerak" itu dapat direalisasikan.



Teman mereka, Encik Kalaiselvam Paneselvam dan Encik Selvam Ramanathan, merancang perjalanan dan menyelaras keseluruhan lawatan.



Encik Ramesh Elangovan dan Encik Harish Kumar pula memandu pasangan ke destinasi mereka.



Adik perempuan Encik Gouthaman, Cik Megadarshini Haridass, 21 tahun, dilantik memantau masa dan jurugambar.



Kunjungan itu selesai pada sekitar 2.30 pagi keesokan hari.



"Sangat memenatkan tetapi juga kenangan yang sangat manis," ujar Cik Jayasutha, seorang pengurus jenama prestij global di Diageo.



"Apa yang menyentuh hati kami adalah melihat teman-teman juga memakai pakaian tradisi untuk menyambut kedatangan kami. Orang tua di beberapa rumah merestui kami. Ada juga yang memberi kami sari, daun sirih, kacang dan buah-buahan untuk merestui kami mengikut cara tradisional.



"Ada yang sanggup tunggu kami apabila kami datang sedikit lewat sebab kami tertangguh di rumah sebelumnya," tambah Cik Jayasutha.



Pasangan itu, yang kededuanya lulusan Universiti Nasional Singapura, pada asalnya merancang mengadakan majlis ROM dan majlis perkahwinan tradisional pada 23 Ogos diikuti dengan majlis persandingan di Serangoon Gardens Country Club.



Namun, disebabkan langkah keselamatan untuk mencegah Covid-19 di sini, mereka hanya mengadakan majlis ROM tahun ini dan merancang mengadakan majlis perkahwinan tradisional secara kecil-kecilan pada suku pertama tahun depan.



Mengenai sambutan Deepavali, pasangan itu, yang kini ulang-alik menginap di rumah kededua ibu bapa mereka, bercadang bermalaman di rumah ibu bapa Encik Gouthaman sebelum ke rumah ibu bapa Cik Jayasutha hari ini.



Mereka juga akan mengunjungi rumah beberapa teman-teman.



"Semestinya sambutan tahun ini lebih kecil tetapi kami gembira tetap dapat menyambutnya bersama orang yang tersayang," kata Cik Jayasutha.



Ditanya mengenai persiapan Deepavali mereka, Cik Jayasutha menambah:



"Seronok!



"Sebab kami (keluarga sebelah Encik Gouthaman) semua bekerja di rumah, kami rancang hari cuti dan jadualkan tarikh untuk kemas rumah, buat kuih dan beli-belah di Little India."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >