SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri tahun ini akan lebih meriah lagi buat Encik Muhammad Shalehan sekeluarga.
Ini setelah beliau akhirnya berjaya dinobat pemenang dan sekali gus meraih wang hadiah sebanyak $10,000 dalam satu cabaran radio yang beliau ambil bahagian awal bulan ini.
“Alhamdulillah, syukur atas segalanya! Saya tidak terkata…ia satu berita yang terbaik dalam hidup saya,” kata Encik Shalehan, 32 tahun, dalam catatan Facebook beliau hari ini (22 Mei).
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sering memberi sokongan mereka. Saya juga ingin memberikan penghargaan saya kepada Encik Tony Hadley atas kiriman videonya.”
Nasib bagaikan tidak menyebelahi Encik Shalehan apabila beliau menyertai cabaran ‘Celebrity Name Drop’ meneka nama 14 selebriti antarabangsa yang dianjurkan stesen radio Gold 905, namun dinafikan wang hadiah tersebut.
Beliau dikatakan salah menyebut nama penyanyi asal Britain, Tony Hadley.
Encik Shalehan yang bekerja sebagai seorang pemandu kereta api SMRT, memberitahu akhbar The Straits Times (ST) bahawa beliau ingin menggunakan wang hadiah tersebut untuk perbelanjaan anak-anaknya di “waktu yang sukar ini”.
Bapa tiga orang anak berusia antara dua hingga 12 tahun, dan akan menyambut kelahiran seorang bayi pada Ogos nanti, telah cuba menghubungi stesen itu untuk mendapatkan penjelasan mengapa jawapannya dianggap salah.
Gold 905 dalam catatan Facebooknya berkata: “Peraturan permainan memerlukan pemanggil untuk menyebut nama selebriti dengan tepat. Oleh itu, nama yang salah disebut tidak boleh dan tidak dianggap sebagai entri yang betul. Dalam kes Shalehan, beliau salah menyebut Tony Hadley.”
Encik Shalehan berkata stesen radio itu tidak berlaku adil sambil menambah bahawa beberapa pendengar lain turut menyatakan bahawa jawapan pemenang cabaran itu, Encik Jerome Tan, juga mempunyai salah sebutan.
Tidak puas dengan penjelasan yang diberikan stesen radio berkenaan, Encik Shalehan bertekad untuk menghubungi penyanyi itu sendiri menerusi emel bagi mendapatkan pendapat beliau.
Hadley, bekas vokalis Spandau Ballet, kemudian mengirimkan responsnya menerusi rakaman video dan berkata sebutan namanya itu tepat sama sekali.
Penyanyi yang kini berusia 59 tahun itu berkata: “Saya telah mendengar kembali kaset itu dan sejauh apa yang saya tahu, anda menyebut nama saya dengan betul, jadi anda seharusnya berhak atas hadiah yang seharusnya diberikan.”
Gold 905 akhirnya menarik balik keputusan awalnya dan kini akan menghadiahkan Encik Shalehan jumlah penuh hadiah wang itu meskipun pada awalnya hanya menawarkan $5,000 sebagai tanda muhibah.
Dalam kenyataannya di Facebook, stesen radio itu berkata: “Kami telah menghubungi Encik Shalehan sekali lagi untuk meminta maaf kepadanya. Oleh kerana Tony Hadley sendiri telah mengatakan bahawa Encik Shalehan telah menyebut namanya dengan betul, siapalah kami untuk menafikannya?
“Jumlah penuh hadiah wang sebanyak $10,000 yang termasuk wang tunai dan perbelanjaan membeli-belah juga akan dihadiahkan kepada Encik Shalehan.”
Mengulas tentang apa yang akan dilakukan dengan kemenangan itu, Encik Shalehan menulis:
“Akhirnya, impian saya dan isteri untuk melakukan kerja amal kini dapat menjadi kenyataan.”