Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sambutan meriah tanda warga bangkit lebih kukuh bersama

Aug 10, 2022 | 05:30 AM



MERDEKA!



Penantian rakyat Singapura yang merindui suasana gah Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) setelah ia terpaksa diadakan secara kecil-kecilan selama dua tahun berturut-turut akibat pandemik Covid-19, berakhir sudah.



Satu lagi cabaran berjaya ditempuh, membolehkan NDP untuk diadakan pada skala besar persis era sebelum Covid-19.



Pentas Terapung Marina Bay kembali meriah semalam sedang seramai 25,000 warga yang mengenakan pakaian merah putih mula mengisi tempat duduk seawal 4 petang bagi menonton NDP di lokasi tersebut yang menyajikan pemandangan panorama tepi laut menggabungkan unsur udara, darat dan laut.



Penonton yang divaksin dan digalakkan untuk memakai pelitup, mengibarkan bendera kecil mereka untuk menyambut mesra perayaan NDP di Pentas Terapung Marina Bay buat kali terakhir, sebelum sambutan berpindah ke Padang untuk memberi ruang kepada kerja pembangunan semula Dataran NS yang bakal bermula Mac depan.



Penduduk Singapura lain di kawasan kejiranan yang tidak berpeluang mendapatkan tiket bagi acara NDP juga tidak ketinggalan.



Membuka tirai NDP semalam, dua helikopter Chinook, masing-masing diiringi oleh helikopter serangan Apache, telah mengibarkan bendera negara sambil terbang lalu mengelilingi angkasa pulau ini dari 5.25 petang hingga 6.15 petang.



Di samping itu, pertunjukan udara menampilkan enam jet pejuang F-16 terbang lalu negara dalam formasi delta - di mana jet terbang dalam bentuk V.



Bertemakan 'Lebih Kukuh Bersama, Majulah!', NDP kali ini menyeru warga Singapura agar terus maju ke depan ke arah masa depan lebih baik sebagai rakyat yang terus bersatu dengan hubungan yang semakin kukuh setelah mengharungi pandemik Covid-19.



Tema tersebut mudah dihayati Cik Noor Diyana Muhd Ikbal, 35 tahun, yang menganggap dirinya bertuah berpeluang menonton NDP di Pentas Terapung Marina Bay buat kali terakhir.



Eksekutif insurans itu berkata:



"Pengalaman ini satu nostalgia dan kenangan manis bagi saya dan keluarga saya. Saya juga berasa amat bangga menjadi warga Singapura kerana Singapura sangat maju dan terkenal di tahap antarabangsa kerana ia sangat inovatif, selamat dan dapat mengatasi cabaran seperti Covid-19 dengan berkesan."



Semalam wajah warga yang hadir dipenuhi riang dan sorakan ribuan orang bergema sedang NDP membuka tirai dengan aksi payung terjun Red Lions, deruman jet pejuang yang membelah langit, dan perbarisan kumpulan berseragam, antara lain.



NDP tahun ini melibatkan sekitar 2,000 peserta dan antara pertunjukan baru adalah sebuah operasi menyelamat khas oleh anggota Pasukan Petugas Operasi Khas (SOTF).



Buat pertama kali dalam NDP, orang ramai dapat melihat anggota SOTF daripada Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) meletupkan jendela bas awam yang dirampas oleh pengganas. Ini merupakan sebahagian Segmen Pertunjukan Pertahanan Mutlak, yang kali terakhir diadakan pada 2017.



Tahun ini juga adalah sambutan ulang tahun ke-55 Perkhidmatan Negara (NS55) dan antara penghormatan yang diberi kepada mereka yang telah berkhidmat kepada NS adalah perarakan khas oleh kontinjen belia yang membuat bentuk NS55.



Pada sebelah malam, kawasan Marina Bay bermandikan cahaya dengan pelbagai persembahan, yang membawa penonton meraikan nilai-nilai yang ditonjolkan warga Singapura, antaranya, ketabahan, kebolehsesuaian dan semangat perpaduan.



Berjudul Kisah Kita atau The Story of Us, persembahan yang dibahagikan kepada lima segmen itu mempamerkan perjalanan kolektif rakyat Singapura sepanjang dua tahun lalu yang berjuang dan beransur keluar daripada wabak Covid-19 bersama.



Cik Zaleha Alsagoff, 82 tahun, yang menyaksikan NDP bersama cucunya berkata:



"Saya sangat bangga dengan apa Singapura telah capai dari tidak mempunyai apa-apa dan kemudiannya dibangunkan dengan cepat untuk menjadi negara yang maju dalam hanya beberapa tahun sahaja."



Acara kemuncak yang dinanti-nantikan, pertunjukan bunga api, menyemarakkan lagi suasana, memukau penonton yang hadir di Pentas Terapung Marina Bay, sekali gus yang berkumpul di sekitarnya, termasuk di Bendungan Marina, Esplanade, dan The Promontory di Marina Bay.



Serentak itu, bunga api turut dinyalakan di lima kawasan kejiranan serata Singapura - padang terbuka bersebelahan Perpustakaan Ang Mo Kio, bekas tapak Maktab Rendah Tampines, Stadium Woodlands, Stadium Jurong West, dan Stadium Bedok.



Namun, yang menyentuh hati adalah apabila suasana kemudian bertukar menjadi syahdu di saat lagu kebangsaan berkumandang, mengisi malam dengan suara rakyat patriotik yang bersatu jiwa menghayati lirik lagu kebangsaan:



'Marilah kita bersatu, dengan semangat yang baru, semua kita berseru, Majulah Singapura.'




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >