CONTOH TIGA INDIVIDU DALAM KERJAYA MASING-MASING

Sampai ke Romania demi cari ilmu bidang teknologi...

TUNTUTLAH ilmu sehingga ke China.

Pepatah itu menjadi pegangan Encik Ibrahim Junaidi Fergo yang sanggup merantau jauh mencari ilmu sehingga ke Romania demi menimba pengetahuan baru dalam bidang teknologi.

Selepas lima tahun menjadi seorang guru, Encik Ibrahim, 35 tahun, memutuskan untuk meninggalkan pekerjaan yang selesa itu kerana ingin meneroka sektor teknologi kewangan - sesuatu yang amat baru baginya.

Hasil peningkatan diri dalam bidang itu - termasuk menerusi kursus SkillsFuture - kini lulusan bidang ilustrasi dari Universiti Seni London itu menerajui peranan penting dalam sebuah perniagaan teknologi baru, CollabDeen.

Sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan dan Strategi, tugas Encik Ibrahim, 35 tahun meliputi usaha penjenamaan semula dan memikirkan strategi perniagaan baru.

CollabDeen, yang berpangkalan di Singapura, telah membangunkan satu aplikasi bijak yang boleh membantu komunikasi dan kerjasama serta direka khas buat masyarakat Islam.

Aplikasi itu kini sudah dimanfaatkan oleh beberapa masjid setempat seperti Masjid An-Nur, Assyafaah, Al-Istighfar dan badan Melayu/Islam seperti Darul Arqam, Jamiyah dan Mendaki.

Sebelum itu, Encik Ibrahim pernah bertugas sebagai pakar sains data dengan syarikat Unilever.

Menjelaskan lebih lanjut tentang pengalamannya bertukar bidang kerjaya, daripada perguruan kepada teknologi kewangan, Encik Ibrahim berkata:

"Semasa saya menjadi seorang guru, saya sudah melihat kesan gangguan teknologi ini sekitar (tahun) 2014.

"Saya menjadi tertarik kerana saya melihat ia menawarkan bermacam potensi menarik, termasuk menghuraikan masalah di dunia dan dalam masyarakat.

"Pada 2017, saya buat keputusan untuk berhenti menjadi guru dan nekad mencuba bidang baru dalam teknologi."

Namun pada masa itu, Encik Ibrahim berkata industri itu baru hendak berkembang dan kursus berkaitan teknologi masih berkurangan.

Lantaran itu, minat yang semakin mendalam membawanya ke Romania - untuk menimba ilmu tentang teknologi kewangan dan menjalin rangkaian dengan kenalan yang sama minat, dengan menyertai Romania Fintech, kumpulan pakar teknologi yang menganjurkan kursus, khususnya dalam blockchain.

"Pada ketika itu, Romania merupakan antara lokasi yang banyak menghimpunkan pakar gangguan digital di dunia dan banyak kursus ditawarkan serta lebih dimampui berbanding Russia atau Amerika Syarikat.

"Selama tiga minggu di sana, saya mengambil kursus analitik data dan R-programming.

"Memang mencabar sekali sebab ia sesuatu yang sangat baru bagi saya tetapi ini tidak pernah mematahkan semangat saya," ujar Encik Ibrahim yang kini menguruskan pasukan lima orang di bawah CollabDeen.

Menyusuli itu, Encik Ibrahim pulang dan menyertai persatuan Lattice 80, yang menghimpunkan pemain, penggiat dan pakar teknologi di samping meningkatkan lagi kemahirannya dengan mengambil kursus dalam bidang risikan perniagaan, di bawah SkillsFuture.

Beliau menggesa masyarakat Melayu agar merebut peluang yang tersaji dalam sektor itu, apatah lagi dengan bermacam usaha dan inisiatif yang disediakan pemerintah dalam merancakkan industri itu.

"Impian saya ialah untuk menggunakan teknologi bagi menyelesaikan masalah sebenar seperti kemiskinan, penipuan dan mewujudkan kerjasama masyarakat," tambahnya.