MACAM goreng pisang panas!
Tidak sampai sejam apabila ia dilancarkan pagi semalam, telefon bimbit terbaru dari Samsung, Galaxy Z Flip habis ditempah menerusi lamannya.
Naib Presiden, Teknologi Maklumat (IT) dan Mobil Samsung Electronics Singapore, Cik Sarah Chua menerusi satu kenyataan berkata syarikat itu gembira dengan sambutan hangat terhadap Galaxy Z Flip di Singapura, yang juga mencerminkan permintaan yang kukuh untuk telefon bimbit bentuk berlipat.
Galaxy Z Flip merupakan model telefon bimbit kedua yang boleh dilipat yang dihasilkan Samsung selepas pelancaran Galaxy Fold September tahun lalu.
Berbentuk segi empat apabila ditutup, telefon bimbit itu akan kelihatan seperti telefon bimbit pintar biasa setelah dibuka.
“Kami tahu bahawa pelanggan kami sentiasa mencari pengalaman unik yang sesuai dengan gaya hidup mereka, dan kami merasakan Galaxy Z Flip ini dapat dipadankan dengan pengguna tempatan kerana menawarkan pengalaman mudah alih yang inovatif, bergaya dan berani.
“Pasukan kami sedang bekerja keras agar dapat membawa masuk lebih banyak Galaxy Z Flip untuk memenuhi permintaan pelanggan untuk alat peranti ini,” kata Cik Chua.
Encik Han Li, 35 tahun, yang merupakan antara pelanggan pertama untuk mendapatkan telefon bimbit itu semalam berkata:
“Saya gembira menjadi salah pengguna pertama di Singapura dan juga Asia Tenggara untuk mendapatkan Galaxy Z Flip.
“Saya suka dengan ciri telefon bimbit ini yang boleh dilipat, membawa kembali nostalgia buat saya.
“Kualiti pembinaan dan reka bentuk yang indah sangat menonjol dan saya menghargai bahawa Samsung telah menggunakan skrin kaca nipis untuk telefon bimbit ini. Saya tidak sabar untuk mula menggunakan telefon bimbit Samsung pertama saya,” kata Encik Han Li yang bekerja sebagai seorang jurutera.
Harga pasaran untuk Galaxy Z Flip bermula pada $1,998 (termasuk GST) dan stok baru akan mula dijual semula di Samsung Online Store mulai pagi esok (16 Februari).