Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sang Nila Utama, Munshi Abdullah antara empat patung baru

Jan 05, 2019 | 05:30 AM



UKIRAN patung Sang Nila Utama dan Munshi Abdullah adalah antara empat patung yang kini berdiri dekat Sungai Singapura bersebelahan patung ikon Sir Stamford Raffles.



Selain patung Sang Nila Utama dan Munshi Abdullah, dua lagi merupakan patung Tan Tock Seng dan Naraina Pillai.



Menurut kenyataan Pejabat Bicentennial Singapura (SBO) semalam, ukiran terbaru itu mewakili watak lebih luas yang tiba di Singapura pada 1819 dan sebelumnya.



"Sedang Bicentennial Singapura memperingati ulang tahun ke-200 kedatangan Sir Stamford Raffles pada 1819 sebagai titik penting dalam sejarah kita, ia juga mengiktiraf pelbagai masyarakat dan tokoh yang telah membentuk Singapura selama ini," kata kenyataan itu.



SBO menambah ramai penduduk Singapura pasti kenal akan Sang Nila Utama, putera Palembang yang mula-mula melihat visi singa dan menubuhkan Kerajaan Singapura pada tahun 1299.



"Beliau (Sang Nila Utama) memberikan pautan kepada sejarah kita yang lebih lama sebelum tahun 1819, yang kami harap dapat diteroka sepanjang tahun ini," kata kenyataan SBO.



Tan, Munshi dan Naraina adalah antara pendatang pertama yang tiba di Singapura pada 1819 dan secara meluas dianggap sebagai pemimpin perintis utama masyarakat ketika itu.



Tan adalah seorang peniaga, dermawan dan pemimpin masyarakat yang menyumbang dengan mendirikan sebuah hospital yang dinamakan sempena namanya.



Munshi adalah setiausaha, jurubahasa dan tutor bahasa Melayu Raffles yang mendokumentasikan peristiwa penting di Singapura selepas Raffles mendarat dan dianggap sebagai pengasas kesusasteraan Melayu moden.



Naraina pula adalah ketua kerani perbendaharaan dan pemimpin tempatan masyarakat India.



Kehadiran patung-patung itu menyusuli aksi seni Sabtu lalu apabila patung putih Sir Stamford Raffles sebahagiannya diwarnakan dalam cat kelabu gelap untuk mencipta ilusi optik.



SBO juga mendedahkan kesan itu dibuat dengan cat akrilik dengan kerjasama artis tempatan Teng Kai Wei.



Pada 7 Disember tahun lepas, Lembaga Pelancongan Singapura telah mengeluarkan notis bahawa patung itu, yang berdiri sendirian di situ sejak 1969, akan menjalani kerja penyenggaraan dan disimpan dari 10 hingga 28 Disember.



Penganjur Bicentennial Singapura menyatakan bahawa walaupun ia memperingati 200 tahun sejak pendaratan Raffles, ulang tahun itu juga merupakan kesempatan untuk menandakan sumbangan pelbagai pelopor dan pendatang awal, di samping mengenali sejarah Singapura yang lebih panjang sebagai kawasan pendudukan lebih 700 tahun lalu.



Encik Gene Tan, Pengarah Eksekutif SBO, berkata:



"Walaupun ramai mungkin mengaitkan Bicentennial Singapura dengan kehadiran British dan 1819, kemunculan empat patung tambahan jelas menyatakan pendekatan yang kami ambil untuk usaha sepanjang tahun ini.



"1819 adalah detik penting dalam sejarah kita, tetapi sebelum dan selepas British ramai juga warga dan masyarakat yang datang," kata Encik Tan



Beliau menambah empat patung itu mewakili hanya sebahagian kecil daripada watak besar yang menyumbang kepada evolusi Singapura di dalam sejarah negara selama lebih 700 tahun.



"Melalui pelbagai acara yang dirancang sepanjang 2019, kami berharap rakyat Singapura akan dapat meluaskan pemahaman mereka tentang bagaimana masyarakat yang berbeza, termasuk mereka sendiri, mempunyai peranan dalam sejarah Singapura," kata Encik Tan.



Ketua Bahasa dan Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional, Universiti Teknologi Nanyang, Profesor Madya Hadijah Rahmat pula berkata peranan, fungsi dan pencapaian Singapura adalah amat pelbagai yang merentas banyak bidang.



"Ia tidak hanya dibina oleh seseorang manusia berwawasan, tetapi dibina oleh warga berbilang kaum, berbilang budaya, pelbagai agama, dengan latar belakang yang kaya dan pelbagai kekuatan insan.



"Daripada orang asli, penduduk tempatan, dan pendatang dari rantau Asia Tenggara dan dari seluruh dunia, semuanya telah bekerjasama menyumbang, secara langsung dan tidak langsung untuk membina sejarah unik, perkembangan dan identiti Singapura," kata Profesor Hadijah.



Orang ramai boleh melungsuri www.bicentenial.sg untuk mendalami sejarah Singapura dan sumbangan tokoh-tokohnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >