Santuni warga bukan Islam sempena Ramadan, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

HIKMAH RAMADAN

Santuni warga bukan Islam sempena Ramadan

May 21, 2019 | 05:30 AM

MASYARAKAT Melayu/Islam Singapura wajar merebut peluang Ramadan ini untuk berkongsi tentang agama Islam, terutama berkaitan Ramadan kepada mereka yang berbangsa dan agama lain.

Pada bulan mulia ini, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy menasihatkan supaya masyarakat menunjukkan contoh yang baik sebagai orang Islam dan layan orang lain sebagaimana kita mahu dilayan.

Ustaz Irwan Hadi, Timbalan Pengarah (Dasar Keagamaan dan Pengawalan) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), berkata demikian dalam program Hikmah Ramadan yang disiarkan di stesen radio setempat baru-baru ini.

Beliau menyentuh tentang meraikan kepelbagaian warga atau agama dalam masyarakat dan tuntutan agama memuliakan warga berbangsa dan beragama lain.

Katanya, sejauh ini, masyarakat sudah banyak diingatkan bagaimana puasa antara lain bertujuan menyuburkan keihsanan terhadap sesama insan. Ini khususnya bagi mereka yang memerlukan.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

"Sepanjang Ramadan ini juga, kita sudah melihat melalui pelbagai wadah media massa dan media sosial bagaimana masyarakat Islam berbondong-bondong keluar melakukan pelbagai bentuk kebajikan serta kerja amal, membantu mereka yang berada dalam kesempitan dan kesusahan,'' ujarnya.

Gambaran itulah yang diimpikan, kata Ustaz Irwan Hadi.

Beliau membaca ayat 107 Surah Al-Anbiya, yang bererti:

"Dan tidaklah kami mengutuskan kamu ya Rasullullah saw kecuali sebagai rahmah buat sekian alam."

Beliau juga mengajak umat Islam menelusuri sejarah kehidupan Baginda.

Kita akan menemui terlalu banyak contoh serta teladan daripadanya dalam menghayati erti 'rahmatan lil alamin'.

"Yang namanya rahmah buat sekian alam bererti seseorang akan memberikan bantuan, santunan, layanan baik serta kerjasama kepada sesiapa sahaja tanpa mengira bangsa mahupun agama, selagi mana ia demi kebaikan dan kebajikan kehidupan bersama.

"Masyarakat rahmah merupakan masyarakat yang apabila ingin menabur bakti, setiap yang berada di sekeliling pasti akan rasa kebaikan dan meraih kemanfaatan daripada kebajikannya, tidak kiralah sama ada mereka seagama atau daripada agama yang lain,'' katanya.

Beliau menukil kisah yang pernah diriwayatkan dalam kitab Zadul Maád karangan Ibnu Qayyim Al-Jauziyah.

Pernah rombongan pengikut Kristian dari Najran datang ke Madinah bertemu dengan Nabi Muhammad.

Kemudian ketika tiba waktu mereka melakukan ibadah, Nabi membenarkan mereka melaksanakannya di Masjid Nabawi.

"Subhannallah, begitu kesantunan Nabi. Baginda dengan keyakinan dan keimanan yang jitu sedikit pun tidak rasa bahawa dengan melakukan kebaikan kepada orang bukan Islam atau mengizinkan mereka beribadat di dalam masjidnya, akan mengurangkan mahupun menjejas keimanan.

"Malangnya, sebelum Ramadan ini, kita mendapat berita menyayat hati di mana individu yang mendakwa dan menyalahgunakan nama Islam dan melakukan tindakan keganasan yang meragut nyawa pengikut agama Kristian yang tidak bersalah di Sri Lanka.

"Ini sesuatu yang perlu kita perhatikan dan pastikan bahawa ia tidak berlaku di tempat kita khususnya atau di mana-mana.

"Kalau kita lihat, kita diajak terus menyantuni, melayani sesiapa sahaja dengan kebaikan atau sama ada mereka ini kaum keluarga atau teman-teman yang bukan daripada agama Islam,'' ujarnya.

Lihat sahaja suatu ketika Asma Abu Bakar diziarahi ibunya yang bukan beragama Islam.

Meskipun ketika itu sudah ada perjanjian damai di antara suku Quraisy dengan Rasulullah, masih rasa bahang ketegangan.

Oleh sebab itu, beliau bertanya kepada Nabi:

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah datang bertemuku dan beliau ingin sangat bertemuku.

"Apakah bersesuai, ya Rasulullah, untuk berhubungan dengannya?"

Nabi s.a.w. kemudian bersabda:

"Ya, sambunglah hubunganmu dengan ibumu."

Kisah itu diriwayatkan oleh setengah ulama tafsir menjadi sebab turunnya ayat kelapan surah Al-Mumtahanah, di mana Allah swt berfirman:

"Allah tidak melarang kamu untuk kamu berbuat baik atau kebajikan serta berlaku adil kepada orang-orang bukan beragama Islam yang tidak memerangi kamu kerana agamamu mahupun mengusir kamu keluar daripada rumahmu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Menurut Ustaz Irwan Hadi, itu prinsip dasar Al-Quran dalam kita berlaku baik kepada orang bukan Islam di sekeliling kita.

"Kita melihat bagaimana dalam Ramadan ini, masjid telah membuka pintunya bukan sahaja kepada setiap Muslim bahkan kepada seluruh masyarakat Singapura daripada pelbagai bangsa supaya kita sama-sama rasa pengalaman berbuka bersama.

"Bahkan telah menjadi tradisi dan budaya masyarakat dan persatuan Islam di Singapura melakukan aktiviti kebajikan buat masyarakat dan membantu golongan memerlukan tanpa mengira bangsa dan agama.

"Kita juga pernah lihat, beberapa tahun yang lalu, disebarkan di akhbar tentang keluarga Muslim yang mengambil kesempatan Ramadan untuk memperkukuh hubungan antara jiran tetangga yang datang daripada pelbagai budaya.

"Ini antara budaya kehidupan yang selari dengan prinsip dan dasar syariah serta sunnah Nabi dan perlu terus mekar serta kembangkan.

"Ini disebabkan itu peranan setiap daripada kita sebagai duta Islam di mana sahaja kita berada, tidak kira di rumah, tempat kerja, sekolah mahupun persatuan.

"Pastikan bahawa dalam apa jua santunan dan aktiviti kebajikan, mereka yang bukan Islam dapat merasakan kebaikan dan dapat disentuh nurani dan naluri kebaikan kita.

"Hidup sebagai masyarakat minoriti ini merupakan satu hikmah dan nikmat pada masa yang sama, di mana kita disajikan dengan lebih banyak peluang terus memperkenal Islam serta ajarannya yang murni kepada lebih ramai anggota masyarakat daripada agama lain.

"Semoga Ramadan ini menjadi pencetus kita dapat terus menonjolkan kemuliaan Islam serta pengikutnya dan menyemarakkan lagi semangat 'rahmatan lil alamin','' katanya.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map