Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Santuni yang sakit lebih mudah dengan kerjasama keluarga

Meletakkan kepentingan orang lain sebelum kepentingan diri sendiri adalah sesuatu yang senang diucapkan tapi sukar dilaksanakan. Namun, dua individu ini telah menyerlahkan semangat tersebut dengan menjalankan kewajipan sebagai penjaga dan tanggungjawab sebagai pemimpin kesatuan. Ikuti kisah pengorbanan mereka.
May 30, 2022 | 05:30 AM



MENJAGA dan mengurus arwah suami, arwah abang, cucu dan ibunya sendiri.



Namun, Cik Junaidah Kassim, 68 tahun, tidak lelah menjaga mereka yang menghadapi beberapa penyakit kerana percaya Allah swt permudahkan urusannya menjaga mereka yang memerlukan bantuannya.



Walaupun dia sendiri mempunyai masalah tulang belakang, Cik Junaidah menganggap pengalaman menjaga yang sakit sebagai "perjalanan biasa sahaja".



Tugasnya tidak terasa berat kerana ahli keluarganya yang lain - anak, menantu dan ipar-duai - turut membantu menyantuni ahli keluarganya yang sakit.



"Alhamdulillah, kami dapat melakukannya dengan tenang," kata penerima Anugerah Pengasuh Inspirasi dalam Anugerah Pengasuh dan Pesakit Inspirasi 2022 anjuran Singapore Health (SingHealth),



Cik Junaidah merupakan anak ketujuh daripada 10 adik-beradik.



Abangnya, anak kedua, Encik Saleh Kassim, meninggal dunia pada Februari tahun ini. Isterinya pekak dan bisu.



Anak tunggal pasangan itu, bernama Natasha, juga dilahirkan dengan masalah jantung, pendengaran dan mata.



Arwah abangnya merupakan sahabat baik arwah suaminya.



Cik Junaidah dan arwah suaminya sentiasa membantu mereka sekeluarga dalam urusan pekerjaan, persekolahan dan kesihatan.



Semasa Natasha masih kecil, dia menemaninya ke kelas kumpulan permainan di sekolah orang pekak.



Di situ dia mempelajari bahasa isyarat formal. Sebelum itu, dia berkomunikasi dengan arwah abangnya melalui sistem isyarat tangan mudah yang dicipta sendiri.



"Dia berbual menggunakan tangan," jelasnya yang sering membantu menjadi pengantara ketika bertemu doktor atau mengurus hal-soal kepada pegawai bertugas.



Cik Junaidah dan arwah suaminya juga membantu menjaga Natasha sehingga tamat sekolah rendah, membawanya ke sekolah dan pulang setiap hari. Apabila arwah suaminya sakit, dia terpaksa mengalihkan perhatian.



Arwah suaminya menjalani pembedahan pintasan jantung, menghidap diabetes dan masalah perubatan kronik yang lain. Dia meninggal pada 2005 akibat barah hati.



Mengenang arwah suaminya, Cik Junaidah berkata: "Suami saya ini happy go lucky. Dia tidak tunjukkan sakit, atau lembik. Pada akhir hayatnya, arwah ada barah, dan merebak. Kami tidak susah menjaganya. Cuma di akhir hayatnya, dia koma enam hari."



Menurut Cik Junaidah, keluarganya sentiasa membantu meringankan bebannya.



"Dalam keluarga, apabila bantu-membantu, kami tidak akan rasa tertekan," ujarnya.



Cik Junaidah masih berpegang pada pesanan suaminya agar sentiasa membantu keluarga abang Cik Junaidah itu kerana "arwah tiada daya. Kita yang ada daya ini harus membantu."



Lantaran itu, dia terus membantu namun selepas suami meninggal.



Cucunya pula menghidapi penyakit leukemia dan dia turut membantu menjaganya.



Pengalaman membantu menjaga cucunya itu memberinya kesedaran.



"Dia baru berumur empat tahun, sudah kena kemoterapi, masuk ICU. Kami jaga makan minumnya, kemoterapinya.



"Dalam wad, ramai budak-budak sakit barah. Ini buat kita insaf - kalau kita rasa susah, orang lain lebih susah.



"Setiap pemberihan Tuhan kepada kita, ada hikmah. Itu pegangan saya," kata Cik Junaidah.



Tahun lalu, arwah abangnya disahkan menghidap barah kolon.



Dia menziarahinya setiap hari di hospital dan membantu berkomunikasi dengan pasukan penjagaannya tentang rawatan dan operasi.



Selepas keluar dari hospital, dia menemaninya ke semua temu janji kesihatan.



Oleh sebab Cik Junaidah tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, dia mendapat salah seorang anaknya hadir sama.



Mereka bantu menulis arahan doktor dan ajar Natasha supaya dia boleh membantu menjaga bapanya di rumah.



Cik Junaidah bangga bahawa semua orang dalam keluarganya memainkan peranan masing-masing untuk memastikan urusan rawatan arwah abangnya lancar, termasuk dari segi pengangkutan dan rawatan suntikan.



Februari lalu, abangnya meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19.



Cik Junaidah berkata dia terkejut apabila diberitahu tentang Anugerah Pengasuh Inspirasi itu.



"Alhamdulillah. Ini semua anugerah Allah swt. Allah beri kita kesihatan untuk menolong yang kekurangan, insya-Allah," katanya melahirkan rasa syukur dapat terus membantu ibu, kakak ipar dan anak saudaranya yang mengalami masalah kesihatan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >