PARLIMEN: PERUNTUKAN EP MELAYU

Satu penghormatan bagi masyarakat jika Presiden orang Melayu

MENJADI satu penghormatan bagi masyarakat Melayu jika ia berjaya meraikan Presiden Melayu tahun depan - yang pertama dalam hampir lima dekad.

Sementara menggesa calon Melayu yang layak tampil, pemimpin pertubuhan Melayu setempat turut menekankan agar Presiden yang dipilih menerusi pilihan raya khusus perlu diterima secara sejagat dan mewakili setiap anggota dalam masyarakat berbilang kaum di Singapura.

"Ini merupakan faktor yang amat penting," ujar presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Izzuddin Taherally.

"Singapura telah berkembang sebagai negara berbilang kaum yang makmur. Perpaduan ini kekal utuh walaupun berlatarkan perkembangan dunia yang tidak menentu.

"Presiden yang diundi menerusi pilihan raya khusus perlu menunjukkan beliau setanding atau lebih baik daripada kriteria yang dikenakan. Beliau tidak boleh diterima oleh sesuatu kaum semata-mata. Lebih penting... beliau perlu mewakili setiap warga."

Pandangan ini mencerminkan sentimen yang ditunjukkan oleh beberapa pemimpin pertubuhan Melayu setempat yang dihubungi Berita Harian semalam, apabila diminta mengulas tentang pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkenaan Presiden Dipilih (EP) di Parlimen.

Menurut Encik Lee, pilihan raya khusus bagi calon Melayu akan diadakan tahun depan berdasarkan semakan yang dibentangkan oleh Suruhanjaya Perlembagaan.

Tambah PM Lee, selepas lebih 46 tahun menanti, Singapura akan mempunyai Presiden Melayu sekali lagi jika seorang calon Melayu yang layak tampil bertanding dalam pilihan raya khusus yang bakal diadakan tahun depan.

Pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Abdul Hamid Abdullah, pula berkata pilihan raya khusus bagi masyarakat minoriti memberikan isyarat yang betul bagi negara yang dibentuk oleh penduduk berbilang bangsa.

Beliau turut melahirkan harapan agar calon yang layak, terutama daripada sektor swasta, tampil bertanding.

"Warga mengenali calon yang mungkin tampil daripada sektor awam, tetapi saya rasa ramai kurang tahu tentang calon yang layak daripada sektor swasta.

"Memang penting bagi calon diterima oleh setiap warga. Presiden merupakan lambang yang menyatukan warga dan negara," katanya.

Mengetengahkan pendapat serupa, Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Rahayu Mohamad, mendamba agar peluang menjadi Ketua Negara Singapura ini tidak disesiakan calon yang layak bertanding.

"Pengumuman terkini oleh Encik Lee ini merupakan isyarat yang menunjukkan pemerintah komited mahu memastikan jawatan Presiden akan disandang oleh setiap bangsa utama di Singapura... selain berkhidmat kepada negara, memang penting seorang anak Melayu menjadi contoh dan pada masa yang sama merealisasikan hasrat masyarakat Melayu supaya mereka terdorong terus maju ke hadapan," ujar Cik Rahayu.

"Sudah tentu PPIS ingin menyaksikan wanita yang berwibawa tampil kerana wanita turut mempunyai peluang saksama untuk bertanding."

Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader, berkata:

"Langkah ini menunjukkan pemerintah Singapura begitu prihatin terhadap keperluan masyarakat minoriti seperti masyarakat Melayu.

"Ia juga menunjukkan keyakinan pemerintah bahawa orang Melayu layak menyandang jawatan tertinggi dalam pemerintah Singapura."

Parlimen semalam membahaskan pindaan kepada Perlembagaan Singapura berhubung rangka kerja Presiden Dipilih.

Antara lain pindaan itu akan memberi peruntukan kepada perwakilan sebuah kaum bagi EP jika kaum itu tidak diwakili bagi lima tempoh berturut-turut.

Perdana Menteri menerangkan bahawa setelah mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara, pemerintah akan meminda Akta Pilihan Raya Presiden pada tahun depan supaya tempoh perhitungan bermula daripada Presiden pertama yang melaksanakan kuasa EP iaitu Dr Wee Kim Wee.

Selepas Dr Wee, Presiden seterusnya iaitu Encik Ong Teng Cheong, Encik S R Nathan (dua tempoh) dan Dr Tony Tan Keng Yam, semuanya merupakan Presiden bukan Melayu.

Justeru Encik Lee berkata:

"Pilihan raya akan datang, yang perlu diadakan tahun depan, bakal diperuntukkan bagi calon Melayu.

Ini bermakna 46 tahun selepas Presiden pertama Encik Yusof Ishak, Singapura bakal memilih seorang Presiden Melayu dalam pilihan raya yang perlu diadakan tahun depan.


"Presiden yang diundi menerusi pilihan raya khusus perlu menunjukkan beliau setanding atau lebih baik daripada kriteria yang dikenakan. Beliau tidak boleh diterima oleh sesuatu kaum semata-mata. Lebih penting... beliau perlu mewakili setiap warga."
- Presiden Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Encik Izzuddin Taherally.

"Pengumuman terkini oleh Encik Lee ini merupakan isyarat yang menunjukkan pemerintah komited mahu memastikan jawatan Presiden akan disandang oleh setiap bangsa utama di Singapura. Sudah tentu PPIS ingin menyaksikan wanita yang berwibawa tampil."
- Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Rahayu Mohamad.

"Memang penting bagi calon diterima oleh setiap warga. Presiden merupakan lambang yang menyatukan warga dan negara."
- Pengerusi Angkatan Karyawan Islam (AMP), Encik Abdul Hamid Abdullah.

"Langkah ini menunjukkan pemerintah Singapura begitu prihatin terhadap keperluan masyarakat minoriti seperti masyarakat Melayu."
- Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemuda Pemudi Melayu Singapura, Encik Abdul Halim Kader.

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:05
3 HR PSI: 45
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.