Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Satu-satunya jurutera marin wanita di atas kapal tangki minyak

Jun 16, 2021 | 05:30 AM



BERTARUNG dengan ombak besar tatkala berada di atas kapal sudah biasa bagi Cik Nur'iffah Sohaimi yang sering mengembara di seluruh dunia.



Sebagai jurutera marin, beliau merupakan satu-satunya daripada 500 kelasi kapal di syarikatnya yang merupakan sebuah syarikat tangki minyak asing yang berpangkalan di Singapura.



Tugasnya penting iaitu memastikan peralatan dan mesin di dalam kapal beroperasi dengan betul sepanjang pelayaran yang boleh makan masa selama enam bulan.



Memang banyak cabaran yang dihadapi ketika di laut tetapi ia tidak mematahkan semangat anak Singapura itu mengejar cita-citanya.



Dengan pengalamannya belayar selama tiga tahun, Cik Nur'iffah, 29 tahun, berkata ia mendorongnya bekerja lebih keras dalam industri yang banyak dikuasai kaum lelaki.



Ketika dihubungi oleh Berita Harian (BH), beliau berkongsi minatnya mahu belayar mendalam ketika mendapat tahu bahawa terdapat beberapa antara ahli keluarga besarnya yang menceburi bidang tersebut.



"Pak cik dan mak cik saya bekerja di limbungan kapal dan membuat penilaian kapal.



"Ia hanya membakar semangat saya untuk menceburi bidang ini.



"Pada awalnya, ibu bapa saya agak khuatir akan keselamatan saya kerana saya masih muda lagi dan perlu belayar dalam tempoh yang panjang sendirian.



"Tetapi, lama-kelamaan mereka memberi restu dan memberi kebenaran kepada saya mengejar minat saya," kata lulusan diploma kejuruteraan laut daripada Politeknik Singapura itu.



Mula belayar sejak usianya 19 tahun sebagai jurutera kadet di kapal kontena, Cik Nur'iffah berkongsi kisah, beliau berpeluang belayar dan bertemu serta bekerja bersama dengan orang daripada pelbagai bangsa dan negara.



Mengongsi beberapa pengalaman yang cukup mencabar semasa belayar, beliau pernah belayar di perairan berombak dan mengalami bekalan elektrik yang terputus.



"Saya dikerahkan bertugas di atas kapal yang amat mencabar. Ketika itu, saya masih tidak mempunyai pengalaman yang banyak dan terdapat banyak mesin yang perlu dibaiki.



"Semasa kita melalui ombak besar, kadangkala kita mengalami 'blackout'.



"Akibat pelbagai masalah, saya rasa takut sekiranya kapal ini akan tenggelam. Namun, alhamdulillah dengan bantuan kakitangan lain kami berjaya sampai ke destinasi," kata lulusan bidang kejuruteraan mekanikal yang mengkhusus dalam robotik dan mekatronik di Universiti Tekonologi Nanyang (NTU), yang sudah belayar ke 28 negara.



Ini termasuk Kenya, Africa Selatan, Belgium, New Zealand dan beberapa negara Timur Tengah.



Meskipun mengalami diskriminasi daripada sesetengah kaum Adam yang memandang rendah terhadap kebolehannya, Cik Nur'iffah, yang kini menyandang jurutera marin pegawai kedua, terus berusaha bagi menunjukkan prestasi yang baik.



"Pernah seorang rakan kerja lelaki saya berkata wanita tidak sepatutnya bekerja di atas kapal kerana mereka tidak boleh berfikir dengan jelas.



"Apabila saya dengar mengenai perkara seperti itu, saya sering lupakannya dan membuktikan kepada mereka bahawa wanita muda seperti saya mempunyai kecekapan yang diperlukan dalam kerja ini," ujarnya.



Walaupun terdapat segelintir orang sebegitu, Cik Nur'iffah berkata ramai juga yang menjaganya dan membantunya sepanjang mereka belayar bersama.



Pada masa akan datang, anak kedua daripada tiga beradik yang belum berumah tangga itu berkata beliau tidak sabar mahu terus belayar lagi serta menggalakkan wanita warga Singapura menceburi industri ini.



"Industri ini banyak mengajar saya tentang kehidupan dan bagaimana untuk berdikari.



"Sejujurnya, ini merupakan industri yang dikuasai lelaki tetapi saya percaya golongan wanita juga boleh melakukannya.



"Mungkin ia mencabar, tetapi saya rasa cabaran itulah yang akan membuat kita melakukan yang terbaik," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >