Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed berkata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi dan mengharapkan keputusan yang baik bagi jemaah Singapura.
“Muis sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi mengenai urusan haji dan akan berkongsi maklumat lanjut apabila butiran lanjut diperolehi.
“Sementara itu, mari kita terus bersama-sama berdoa untuk keputusan yang baik bagi jemaah Singapura, InsyaAllah.”
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Arab Saudi untuk membenarkan sehingga sejuta jemaah haji dari dalam dan luar negara pada tahun ini di samping melonggarkan beberapa sekatan Covid-19.
Melahirkan rasa syukur dan gembira dengan berita ini, Encik Masagos berkata dalam satu catatan Facebook pada Sabtu (9 April):
“Buat masa ini, pihak Muis belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai kuota bagi jemaah Singapura. Namun, pihak berkuasa Arab Saudi telah mengumumkan bahawa sejumlah sejuta jemaah tempatan dan luar negara akan dapat menunaikan haji tahun ini.
“Memandangkan bilangan jemaah haji yang dibenarkan untuk menunaikan haji berkurangan berbanding 2.5 juta sebelum ini, kemungkinan besar kuota yang akan diberikan kepada setiap negara juga akan dikurangkan.”
Lantaran itu, kata Encik Masagos, seperti apa yang dikongsi berikutan pertemuannya baru-baru ini dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq bin Fawzan bin Muhammad Al Rabiah, masyarakat Islam harus fleksibel dan bersedia membuat penyesuaian apabila butiran lanjut dikeluarkan.