Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Saya mahu terus hidup'

Penerima pemindahan hati 17 tahun lalu rayu penderma sesuai ekoran organnya rosak lagi
May 09, 2021 | 05:30 AM



"SAYA mahu terus hidup".



Demikian luahan Encik Sulaiman Musein, 61 tahun, seorang penerima pemindahan hati kira-kira 17 tahun dahulu, yang organ hatinya kini mula rosak semula, dan merayu mahu dapatkan hati daripada penderma.



"Saya nak lihat cucu saya membesar dan mahu lihat, sebelum saya meninggal dunia, anak lelaki saya berumah tangga," katanya sebak.



Beliau, yang sudah tujuh tahun tidak dapat bekerja, mempunyai seorang cucu berusia lima tahun dan anak lelaki berusia 30 tahun.



Seorang lagi anak perempuannya berusia 33 tahun dan sudah berumah tangga.



Anggota keluarganya bersedia menderma hati mereka namun ujian pihak hospital menunjukkan ia tidak sesuai dengan Encik Sulaiman, yang juga mempunyai masalah sakit buah pinggang dan kencing manis.



"Saya bukan nak melawan takdir tetapi mahu berikhtiar terus hidup jika diizinkan-Nya. Saya juga bukan minta derma wang tetapi merayu jika ada sesiapa yang sudi menderma sebahagian hati mereka kepada saya agar sudilah berbuat demikian. Ini kerana doktor memberitahu saya, saya masih sesuai jalani pembedahan pemindahan hati sebelum usia saya cecah 70 tahun," rayunya semasa ditemui Berita Minggu (BM).



Encik Sulaiman menjelaskan beliau reda akan cabaran yang ditempuhi sejak 2004 apabila beliau perlu menjalani pembedahan pemindahan hati setelah organnya itu tidak berfungsi akibat diserang penyakit hepatitis B.



Menurut laporan Berita Harian pada masa itu, pembedahan terpaksa dipindahkan dari Hospital Universiti Nasional (NUH), yang tidak dapat menjalankan pemindahan hati itu, ke Hospital Gleneagles, namun kosnya menelan belanja tinggi, iaitu sekitar $250,000.



Namun beliau akhirnya mendapat subsidi daripada Kementerian Kesihatan (MOH) selain sumbangan dari majikannya ketika itu.



Isterinya, Cik Radiah Abdul Rahman, asalnya diperiksa sesuai untuk menderma separuh hatinya, namun pada saat-saat akhir didapati pula tidak sesuai dan pembedahan pemindahan hati pasangan itu terpaksa dibatalkan di meja bedah.



Keadaan Encik Sulaiman bertambah tenat namun penantian berakhir sehari kemudian apabila Encik Sulaiman menerima hati daripada seorang wanita 40-an tahun yang baru meninggal dunia. Selepas pembedahan itu, beliau masih dapat bekerja namun terpaksa berhenti kira-kira tujuh tahun lalu kerana tubuhnya tidak lagi kuat, dan kini perlu menggunakan kerusi roda elektrik yang didermakan bekas rakan sekolahnya dari Sekolah Menengah Queensway (kumpulan pelajar 1976).



"Mereka selalu datang tengok saya dan beri sokongan kata-kata perangsang dan bantuan lain... Mereka bantu tak kira bangsa atau agama," katanya tersekat-sekat menahan sebak di dada, sambil menghargai sokongan rakan sekolahnya itu.



Menceritakan bagaimana beliau tahu tentang hatinya mula rosak, Encik Sulaiman berkata pada sekitar Ogos 2019, beliau mengalami muntah darah dan apabila dibawa ke NUH, diberitahu bahawa hatinya sudah mengalami kerosakan dengan adanya sklerosis, atau pengerasan di bahagian hati.



Pihak hospital kemudian meletakkan alat bagi "memperbetulkan perjalanan darahnya, dan memanjangkan hayatnya", kongsi beliau.



Namun perkara itu dikatakan menimbulkan kesan sampingan, ujar isterinya, Cik Radiah, 61 tahun, yang menjaga suaminya sepenuh masa di rumah mereka di Tampines.



"Dia kadangkala banyak termenung dan tidak memberi respons kepada orang lain. Dia macam dalam dunianya sendiri," ceritanya.



"Doktor beritahu langkah rawatan selanjutnya adalah bagi suami saya jalani pembedahan pemindahan hati dan saya harap ada yang sudi menderma hati mereka. Saya reda akan nasib kami cuma saya kadang kala sedih melihat kesan sampingan yang dia alami," tambah Cik Radiah.



Encik Sulaiman kini dalam senarai menunggu penerima pemindahan hati dan sudah berada dalam senarai itu selama kira-kira satu tahun lapan bulan.



Selain itu, beliau perlu berulang-alik ke NUH purata tiga kali seminggu bagi menjalani pemeriksaan berkaitan organ hatinya dan penyakit lain.



Sebahagian besar ubatnya ditampung skim bantuan Medifund.



Pihak Masjid Ghufran juga ada memberi bantuan, termasuk baucar $60 sebulan.



"Saya rayu kalau ada yang sudi tampil, dermalah hati anda supaya saya dapat buat pembedahan ini secepat mungkin. Saya ingin sangat nak terus tengok cucu dan anak saya," ujarnya.




"Saya bukan nak melawan takdir tetapi mahu berikhtiar terus hidup jika diizinkan-Nya."
- Pesakit organ hati, Encik Sulaiman Musein.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >