Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

'Sayap pertama' jadi batu loncatan buru impian pertahan angkasa negara

Nov 29, 2020 | 05:30 AM



SEGALA tekanan mahupun perasaan sedih bagai lesap di udara apabila beliau berada di atas awan.



Menjenguk ke bawah, melihat latar langit Singapura, pegawai kadet pelatih (OCT) Danial Amsyar Azhar menjadi lebih bersemangat dalam memastikan beliau mencapai cita-citanya untuk menjadi seorang juruterbang suatu hari nanti.



Impian tersebut dipendam sejak di bangku sekolah selepas bapanya menghadiahkan beberapa model kapal terbang kepadanya.



"Saya mula tertarik dengannya dan mula mengumpul model pesawat lain yang terdiri daripada kapal terbang komersial seperti Boeing dan juga pesawat tentera.



"Saya juga mula membaca dan melakukan kajian mendalam mengenai bidang penerbangan ini," ujar beliau yang berkongsi minat yang sama dengan bapanya.



Disebabkan minat yang mendalam serta keinginan untuk menceburi kerjaya sebagai seorang juruterbang, OCT Danial mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajarannya di Politeknik Temasek, mengambil kursus kejuruteraan aeroangkasa.



Kursus tersebut membuka laluan baginya untuk menyertai program Lesen Juruterbang Privet (PPL) yang dikendalikan Kelab Penerbangan Belia Singapura (SYFC).



Program tersebut ditawarkan kepada pelajar dari maktab rendah dan politeknik berusia antara 18 dan 19 tahun.



Baru-baru ini, OCT Danial, 20 tahun, menjadi peserta Melayu pertama yang dianugerahkan dengan Anugerah Penerbangan Terbaik selain menerima lencana penerbangan atau 'wings' dan sijil dalam satu majlis anugerah anjuran SYFC yang dihadiri Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad.



Ketika memberi ucapan di majlis tersebut yang turut melihat 33 pelajar lain menerima sijil dan lencana, Encik Zaqy berkata SYFC berjaya mencapai misinya dan memainkan peranan penting dalam mempromosikan minat terhadap bidang penerbangan kepada para pelajar dan melatih mereka menjadi generasi baru juruterbang RSAF.



Beliau turut menyatakan bahawa sepertiga pegawai RSAF merupakan alumni SYFC, yang termasuk Ketua Tentera Udara, Mejar Jeneral Kelvin Khong.



"Saya berharap pencapaian mereka akan mendorong lebih ramai golongan belia untuk memanfaatkan peluang yang sangat baik yang disediakan oleh SYFC ini, dan dengan berbuat demikian, terdorong untuk mengambil langkah seterusnya bagi membina kerjaya sebagai seorang juruterbang bersama RSAF untuk mempertahankan langit kita," kata Encik Zaqy.



Mengulas tentang pencapaiannya itu, OCT Danial, yang telahpun menyertai Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) sebagai pegawai sepenuh masa dan sedang menjalani latihan bersama angkatan udara itu, bersyukur kerana diberikan peluang untuk merealisasikan impiannya itu.



"Program ini menjadi batu loncatan untuk saya melangkah masuk ke bidang kerjaya yang sering saya impikan.



"Saya gembira dapat menamatkan program penerbangan ini dengan keputusan cemerlang meskipun menghadapi beberapa cabaran dan membuat penyesuaian agar dapat mengimbangi antara pelajaran dan waktu latihan sepanjang mengikuti program itu," katanya.



Anak sulung dalam keluarga tiga beradik itu juga ingin mendedikasikan pencapaiannya kepada keluarga beliau terutama bapanya, yang tidak putus memberi dorongan mengejar impian tersebut.



"Ini sebenarnya impian beliau juga sewaktu kecil, dan ia telah diturunkan kepada saya," kata OCT Danial.



"Saya harap, jika diberi kesempatan, saya ingin membawa mereka menaiki pesawat yang saya kemudikan."

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >