SATU pertunjukan amal akan dianjurkan buat julung-julung kalinya untuk memberi penghormatan kepada wanita bergelar ibu di Singapura, dan mengumpul dana bagi 10 benefisiari setempat.
Pertunjukan Amal & Penghormatan Hari Ibu Hati-ke-Hati itu dianjurkan oleh Sayap Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Yayasan Masyarakat PAP.
Ia akan disiarkan secara langsung pada 8 Mei dari 3 hingga 5 petang di laman Facebook dan saluran YouTube parti itu.
Artis muzik setempat, anggota masyarakat dan Anggota Parlimen (AP) PAP akan mempersembahkan beberapa lagu dalam konsert dua jam itu.
Penghibur yang akan membuat persembahan di acara itu termasuk pelakon dan penyanyi getai Asmiyati Asbah.
AP yang akan turut serta pula termasuk Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, yang juga pengerusi Sayap Wanita PAP, Cik Josephine Teo; dan AP GRC Ang Mo Kio, Cik Nadia Samdin.
Cik Nadia akan menyanyikan dua lagu, Top of the World oleh The Carpenters dan Fools Rush In oleh Elvis Presley dengan pengerusi Cabang PAP Serangoon Cik Chan Hui Yuh dan dua aktivis parti.
Nyanyian mereka akan diiringi alunan muzik piano yang akan dimainkan oleh AP GRC West Coast, Cik Rachel Ong.
Cik Nadia berkata beliau gembira dapat memberi sokongan dalam meraikan ibu - untuk menghormati kekuatan dan kelembutan mereka terutama setelah lebih setahun mengharungi Covid-19 di mana mereka gigih menguruskan rumah tangga dalam norma baru.
"Saya rasa kali terakhir saya menyanyi di atas pentas adalah di zaman maktab rendah.
"Ini adalah lagu yang dikhaskan untuk ibu-ibu kita! Cabarannya adalah untuk menghafal lirik lagu-lagu lama ini, tetapi saya harap ia akan menggembirakan semua dan terima kasih banyak kepada semua penderma, aktivis dan penonton yang menyokong usaha ini," kata Cik Nadia.
Cik Asmiyati pula berkata beliau tidak sabar untuk menyertai pertunjukan amal tersebut.
"Saya akan menyanyikan lagu Mawar Putih Untuk Mama. Ia adalah lagu popular dalam kalangan masyarakat Melayu dan sangat sesuai untuk Pertunjukan Amal Hari Ibu di mana kita dapat memberi penghormatan kepada ibu-ibu kita," katanya.