'ASAP putih' yang dilihat di stesen MRT Toa Payoh pada Sabtu (7 Oktober) keluar dari alat pengalihan udara yang rosak, kata Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Menulis di Facebook, SCDF berkata alat pengalihan udara itu berada di sebuah bilik di Hab Toa Payoh.
Alat itu telah dimatikan dan teknisyen penyenggaraan sedang berusaha memperbetulkan alat itu, tambah SCDF.
Awal sebelum itu, SCDF berkata ia sedang menyiasat insiden melibatkan 'asap putih' di Stesen MRT Toa Payoh.
SCDF diberitahu tentang insiden itu sekitar 9.22 pagi. Sekitar 10.30 pagi, SCDF berkata melalui Facebook bahawa asap itu telah hilang.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Khidmat bas dan MRT juga tidak terjejas, tambahnya.
Maklumat lanjut akan dimuatkan di laman ini, apabila pihak berkuasa menjawab pertanyaan media.