SCDF fail laporan polis terhadap 5 NSF kerana ambil dan sebar gambar kemalangan Bionix

PASUKAN Pertahanan Awam Singapura (SCDF) telah memfailkan laporan polis terhadap lima anggota perkhidmatan negara sepenuh masanya (NSF) kerana mengambil dan menyebarkan gambar tempat kejadian kemalangan yang melibatkan kenderaan berperisai Bionix Sabtu lalu (3 November).

Salah satu gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan Bionix di atas Land Rover yang remuk.

Sebuah ambulans dan kakitangan SCDF dilihat di belakang.

Kenderaan Bionix itu telah berundur dan melanggar Land Rover tersebut semasa satu latihan di kawasan latihan Jalan Murai, membunuh pemandunya, Koperal Kelas Pertama Liu Kai, 22 tahun.

Seorang jurucakap SCDF berkata hari ini (9 November) bahawa siasatan awal menunjukkan dua NSF yang memberi respons kepada kemalangan itu telah mengambil gambar tempat kejadian tanpa kebenaran dan menghantarnya ke beberapa NSF lain melalui kumpulan chat WhatsApp.

"Tiga daripada NSF yang menerima gambar-gambar itu kemudian mengirimkannya kepada rakan-rakan mereka. Salah satu daripada gambar-gambar itu telah muncul di media sosial," kata jurucakap itu.

"SCDF memandang serius perkara itu dan telah memfailkan laporan polis terhadap lima NSF di atas tindakan mereka yang tidak dibenarkan," tambah jurucakap tersebut.

Satu lagi gambar yang telah diedarkan di media sosial menunjukkan Bionix di atas Land Rover dan anggota tentera berdiri di sekeliling, tanpa sebarang perkhidmatan kecemasan di tempat kejadian.

Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang meneliti semua gambar yang telah disebarkan.

Seorang jurucakap Mindef berkata: "Semua kakitangan yang diberikan akses ke kawasan latihan SAF tertakluk kepada sekatan yang diletakkan ke atas fotografi atau videografi yang tidak dibenarkan.

"Pesalah akan didakwa untuk memastikan bahawa peraturan ketat untuk melindungi keselamatan kita tidak dikompromi."

Waktu Solat

Subuh
5:27
Syuruk
6:49
Zuhur
12:52
Asar
4:14
Maghrib
6:52
Isyak
8:06
3 HR PSI: 72
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.