Subuh
5:28
Syuruk
6:47
Zuhur
12:50
Asar
4:08
Maghrib
6:51
Isyak
8:02
Setempat

LARANGAN PENGGUNAAN ALAT MOBILITI PERIBADI (PMD) DI LALUAN PEJALAN KAKI

Sebab utama larangan bagi lindungi keselamatan pejalan kaki: Pin Min

Nov 14, 2019 | 05:30 AM

PEMERINTAH prihatin dan memandang serius kesan larangan menunggang e-skuter di laluan pejalan kaki ke atas periuk nasi pekerja penghantar makanan yang menggunakan peranti berkenaan.

Sebab utama pemerintah mengambil keputusan sukar mengenakan larangan itu adalah bagi melindungi keselamatan pejalan kaki, kata Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan), Dr Lam Pin Min.

Beliau berkata demikian di sesi dialog dengan pengguna PMD di Kelab Masyarakat Anchorvale kelmarin.

"Kami faham, ada orang yang terjejas selepas kami membuat pengumuman itu. Tapi keutamaan kami adalah mengembalikan keselamatan kepada pejalan kaki di laluan pejalan kaki.

"Kami tidak mahu keadaan jika kami tidak melakukan apa-apa dan berlaku satu lagi kematian di laluan pejalan kaki," kata Dr Lam.

"Saya rasa ia sesuatu yang tidak boleh diterima," ujarnya.

Dr Lam berkata demikian kepada media pada akhir sesi dialog hampir dua jam dengan sekitar 300 penduduk, yang kebanyakannya pekerja penghantaran makanan.

Dr Lam berkata keputusan mengeluarkan larangan itu, yang berkuat kuasa 5 November lalu, adalah sesuatu yang sukar dibuat.

Ini kerana Singapura sepanjang dua tahun lalu telah menggalak penggunaan PMD dan ramai pekerja penghantaran makanan menggunakan e-skuter sebagai pengangkutan, katanya.

"Malangnya, dalam tempoh setahun lalu, malah beberapa bulan lalu, keadaannya tidak bertambah baik dan kami telah melihat bilangan kecederaan dan kemalangan yang ketara," kata Dr Lam.

"Selepas melihat keadaan, kami tahu yang kami perlu melakukan sesuatu bagi mengembalikan keselamatan ke laluan pejalan kaki dan keputusan amat sukar melarang penggunaan PMD di laluan pejalan kaki dibuat," tambahnya.

Pada sesi itu, yang ditutup kepada media, Dr Lam, yang juga Anggota Parlimen (AP) Sengkang West SMC, menerangkan rasional sebalik larangan itu sebelum memberi peluang kepada penduduk bertanya soalan dan mengutarakan keprihatinan mereka.

Dari luar dewan, peserta dialog boleh didengar bersorak dan apabila mereka keluar dari dewan sekitar 10 malam, ada yang meluahkan kemarahan dan rasa tidak puas hati.

Dr Lam berkata meskipun pemerintah telah mengumumkan pakej bantuan $7 juta bagi membantu penghantar makanan menggantikan e-skuter dengan kenderaan yang dibenarkan, tidak semua akan gembira.

Jumaat lalu, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengumumkan bahawa setiap penunggang e-skuter boleh menerima geran sehingga $1,000 untuk menggantikan e-skuter dengan basikal, basikal menggunakan kuasa (PAB), atau alat bantuan mobiliti peribadi (PMA).

Geran itu dibentuk oleh pemerintah dengan sokongan syarikat penghantaran makanan - Grab, Deliveroo dan Foodpanda.

Kata MOT, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan memadankan nilai geran yang boleh diberikannya dengan bantuan kewangan yang ditawarkan oleh syarikat penghantar makanan.

"Ini adalah satu cara kami dapat membantu supaya mereka boleh teruskan bekerja sebagai penghantar makanan," kata Dr Lam, yang menambah bahawa pihaknya akan melihat keperluan seseorang individu yang terjejas mengikut kes, jika pakej bantuan awal kurang membantu individu itu.

"Kami akan bekerjasama dengan penasihat setempat dan bersama masyarakat secara menyeluruh bagi menangani beberapa masalah yang mereka hadapi," katanya.


"Selepas melihat keadaan, kami tahu yang kami perlu lakukan sesuatu untuk mengembalikan keselamatan ke laluan pejalan kaki dan keputusan amat sukar melarang penggunaan PMD di laluan pejalan kaki dibuat."
– Dr Lam Pin Min, Menteri Negara Kanan (Pengangkutan merangkap Kesihatan).

APA KATA PENGGUNA PMD

"Kita boleh ganti (e-skuter) dengan alat mobiliti peribadi (PMD) tapi aspek keselamatan belum lagi diperjelas kepada kita. Kita tunggang (e-skuter) di laluan pejalan kaki, mereka takut kita langgar orang. Tapi apabila kita tunggang di jalan raya, kalau kenderaan lain langgar kita macam mana?"
– Encik Muhamad Noorizar Salleh, 35 tahun, menggunakan e-skuter untuk menghantar tiga anaknya ke sekolah. Menurutnya, beliau tidak berhasrat menukar e-skuter kepada PMD lain, walau ada tawaran geran daripada pemerintah untuk berbuat demikian.

"Sebenarnya, apa yang diperbual dalam sesi dialog telah kita ketahui dari akhbar dan media lain. Jika boleh, kita mahu lebih banyak masa untuk bertanyakan perkara yang berhubungan dengan isu ini, supaya dapat jawapan dan gambaran lebih jelas. Kita datang untuk kemukakan keprihatinan sebenarnya dan bukan bagi penghantar makanan sahaja. Kita datang kerana ingin bertanya tentang huraian yang wajar bagi mereka yang menggunakan e-skuter untuk ke tempat kerja dan bagi keluarga."
– Encik Md Shahrie Azme, 27 tahun, pengguna e-skuter yang bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Video Baru

Podcast Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian