Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sebak anak maut dek nahas motosikal di JB

Jun 19, 2019 | 05:30 AM



ENCIK Jumali Sukis sama sekali tidak menyangka sambutan Lebaran bagi keluarganya tahun ini akan berakhir dengan air mata.



Anak lelakinya, Encik Muhd Hariz, 23 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan pada dinihari Ahad lalu.



Encik Muhd Hariz sedang menunggang motosikal apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2.20 pagi di bahagian lebuh raya selepas Kulai, Johor, menuju ke Simpang Renggam, sekitar 30 kilometer dari Pusat Pemeriksaan dan Imigresen Woodlands.



Menurut Encik Jumali, teknisyen kanan yang bekerja syif malam ketika itu, beliau tersentak dan tidak dapat menahan sebak selepas diberitahu tentang musibah itu oleh anak sulungnya.



"Saya terduduk dan menangis. Pada ketika itu, fikiran saya bercelaru," ujar Encik Jumali, apabila dihubungi Berita Harian (BH).



Allahyarham anak ketiganya. Encik Jumali mempunyai dua lagi anak lelaki dan seorang anak perempuan berusia antara 18 tahun dengan 29 tahun.



Allahyarham yang bekerja sebagai teknisyen merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah East View dan Politeknik Temasek. Beliau mula menunggang motosikal sejak menuntut di politeknik dan merupakan pengguna jalan raya yang selamat, kata Encik Jumali.



Menurut Encik Jumali lagi, anaknya itu keluar rumah sekitar 11 malam dan memberitahu isterinya bahawa beliau ingin keluar makan lewat malam bersama rakan-rakannya. Anak sulungnya, Encik Mohammad Irwan, 29 tahun, turut menyertai rombongan sekitar 15 penunggang motosikal itu.



Encik Irwan memberitahu BH bahawa kumpulan itu telah berpecah di satu perhentian rehat dan rawat (R&R) di sisi lebuh raya itu.



Satu kumpulan memilih berehat lebih lama di sebuah tempat makanan segera, sementara satu lagi kumpulan memutuskan meneruskan perjalanan ke Simpang Renggam. Allahyarham Hariz menyertai kumpulan ini.



"Tidak berapa lama selepas mereka beredar, seorang rakan menelefon saya dan memberitahu Hariz terlibat dalam kemalangan.



"Dengan hati berdebar-debar, saya bergegas menunggang motor ke tempat kejadian, sekitar 15 minit dari R&R itu, tetapi apabila saya tiba di tempat itu, adik saya sudah tidak sedarkan diri, dan seorang rakan memberitahu saya beliau dah meninggal dunia," kata Encik Irwan, yang berkata seorang lagi penunggang motosikal - kenalan mereka dari Malaysia - juga terlibat dalam kemalangan itu.



Allahyarham dibawa ke Hospital Kulai berdekatan untuk pemeriksaan sebelum dibawa pulang ke Singapura.



Jenazah tiba di Singapura pada 4.55 petang Ahad lalu dan dikebumikan pada hari yang sama.



Bercakap kepada BH kelmarin, Encik Jumali berkata beliau berasa terkilan kerana tidak sempat berjalan Hari Raya dengan anaknya tahun ini. Namun, dengan suara lebih tenang, beliau reda dengan pemergian anaknya itu.



"Saya percaya ada hikmah di sebalik sebarang kejadian, saya hanya boleh berdoa dan berharap keluarga saya tabah menghadapi dugaan ini," ujar Encik Jumali, yang berkata beliau amat menghargai bantuan yang dihulurkan oleh keluarga dan rakan-rakan.



Encik Irwan pula berkata beliau mengingati Allaharham sebagai adik yang baik, ramah dan suka bergurau.



"Hidup kami telah berubah buat selama-lamanya," katanya.




"Saya terduduk dan menangis. Pada ketika itu, fikiran saya bercelaru."

"Saya percaya ada hikmah di sebalik sebarang kejadian, saya hanya boleh berdoa dan berharap keluarga saya tabah menghadapi dugaan ini."

- Encik Jumali Sukis, pada mulanya tersentak dan tidak dapat menahan sebak selepas diberitahu tentang musibah yang menimpa keluarga itu.



* Artikel ini telah disemak untuk menambah ketepatannya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >