KESAN negatif berita palsu yang disebarkan dalam bahasa ibunda dan dialek tidak boleh diabaikan, kata pakar media digital Dr Mohamed Elmie Nekmat.
Menyertai sidang awam Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Dalam Talian yang Disengajakan semalam, Dr Elmie berkata banyak perdebatan mengenai kepalsuan dijalankan dalam bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, sesetengah golongan, seperti warga emas, mungkin lebih selesa dalam bahasa ibunda, dan mesej dalam bahasa itu boleh menular di wadah tertutup seperti kumpulan mesej WhatsApp.
"Kita harus lebih memahami tentang peranan bahasa dalam penyebaran maklumat palsu," kata Dr Elmie, Penolong Profesor Perhubungan dan Media Baru di Universiti Nasional Singapura (NUS).
Dalam masyarakat Melayu, antara topik berita palsu yang sering mendapat perhatian ialah soal agama dan kesihatan, katanya.
Banyak juga mesej itu yang berasal dari negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang boleh menjejas Singapura.
Beliau memberi contoh dakwaan palsu dari Malaysia mengenai syarikat kasut Bata Primavera menjual kasut dengan perkataan Arab 'Allah' tertera di tapaknya.
Kontroversi itu bermula apabila seorang pengetua sekolah melarang pelajarnya membeli kasut itu.
Namun, siasatan Lembaga Kawalan Percetakan dan Pelesenan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri Malaysia menunjukkan dakwaan itu palsu.
Ditanya anggota Jawatankuasa Pilihan, Cik Rahayu Mahzam, yang juga Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong, apakah yang boleh dilakukan bagi mengatasi penyebaran berita palsu dalam masyarakat, Dr Elmie menyarankan langkah mengetengahkan pakar bagi menepis kepalsuan dalam bidang tertentu.
Dr Elmie juga ditanya seorang lagi anggota jawatankuasa itu, Cik Sun Xueling, AP GRC Pasir Ris-Punggol, apakah kesan kepalsuan itu juga boleh didapati dalam masyarakat Cina.
"Bahasa itu amat dekat di hati masyarakat. Anda mendapat lebih respons daripada golongan yang menutur bahasa itu," ujarnya mengenai maklumat yang disebar dalam wadah sembang.
Dr Elmie merupakan antara enam perwakilan yang dibentangkan dalam sidang jawatankuasa pilihan yang memasuki hari ketiga semalam.
Pakar luar negara yang juga pengasas rangkaian Masyarakat Antifitnah Indonesia (Mafindo), Encik Septiaji Eko Nugroho, pula mengongsi pengalaman Indonesia, manakala ahli akademik, Encik Morteza Shahrezaye, dari Universiti Teknikal Munich, memberi pengamatan tentang pengalaman di pengalaman Jerman.
Pengarah sebuah syarikat keselamatan Internet, Cik Myla Pilao, pula menjelaskan betapa mudah dan murahnya kini menjalankan kempen memanipulasikan pandangan awam dalam talian.
Dalam sidang semalam, dua perwalikan diadakan secara tertutup kerana pembentangan itu melibatkan isu keselamatan nasional dan hubungan antarabangsa.
Sidang disambung Khamis ini.
Laporan lanjut:
- Pakar kongsi usaha Indonesia perangi kepalsuan jelang pilihan raya
- Pakar teknologi tukil ujian cipta restoran palsu popular
- Ringkasan keterangan