Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN - Penerima zakat hadapi cabaran dengan penuh kesyukuran

Sebelum sakit-sakit, rajin ambil tempahan kuih, lauk-pauk

Apr 09, 2022 | 05:30 AM



SUATU ketika dahulu, 'kuih tat itik' Cik Esah Ahmad menjadi buruan ramai penggemar kuih, terutama pada musim Hari Raya.



Bahkan, populariti kuih tat istimewa beliau itu - yang mendapat julukan tersebut kerana berbentuk seperti itik - pernah menular hinggakan beliau menerima tempahan melebihi 10,000 biji.



"Alhamdulillah, saya gembira orang suka dan sokong membeli kuih saya," ujar Cik Esah, 64 tahun. Beliau mempelajari cara membuat kuih tat itik itu daripada seorang saudaranya yang merupakan orang Minangkabau.



Selain membuat kuih, Cik Esah juga rajin mengambil tempahan untuk memasak lauk-pauk bagi membantu menambah pendapatan Allahyarham suaminya.



Cik Esah pernah bekerja di pelbagai tempat seperti di kilang dan pusat penjagaan pelajar.



Apabila suaminya jatuh sakit pada 2014 dan tidak boleh bertugas, usaha kecil-kecilan beliau berniaga dari rumah itu - yang beliau mulakan sejak anak tunggalnya berusia enam tahun - menjadi sumber pendapatan utama untuk menampung keluarganya.



Anak tunggalnya, kini 32 tahun, sudah mendirikan rumah tangga bersama seorang warga Indonesia dan telah berpindah ke Surabaya.



Menurut Cik Esah, ketika Allahyarham suaminya sakit dan kerap keluar masuk hospital, beliau mengambil tempahan makanan atau kuih-muih mengikut kemampuan tenaganya.



Pada 2014, seorang saudaranya membantu beliau mendaftarkan namanya di pejabat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mendapatkan bantuan zakat.



Menerusi rujukan pejabat Muis, Masjid Assyafaah di Sembawang kemudian menguruskan permohonan bantuan zakat Cik Esah. Bantuan zakat beliau diluluskan pada tahun yang sama.



"Sejujurnya, saya benar-benar malu hendak minta bantuan zakat dahulu, tetapi saudara saya menyatakan apa yang perlu dimalukan?



"Saya lebih banyak menangis daripada bercakap. Nak cakap, jadi macam segan. Sebab saya rasa ada banyak perkara pahit yang buat saya tidak mahu minta bantuan," kata Cik Esah mengimbas perasaannya ketika a hendak meminta bantuan zakat Muis dahulu.



Namun, beliau bersyukur kerana layak dipilih sebagai penerima bantuan zakat, dan ia banyak membantu mengurangkan perbelanjaan hariannya, lebih-lebih lagi ketika suaminya sakit.



Suaminya meninggal lima tahun kemudian pada 2019.



Cik Esah kini tinggal di sebuah flat dua bilik HDB di kawasan Montreal Link, dekat Sembawang, dan masih menerima bantuan zakat Muis.



Ini kerana pendapatan bulanannya jatuh mendadak ekoran keadaan kesihatannya yang kurang baik dan tidak mengizinkannya mengambil tempahan makanan atau kuih-muih secara kerap.



Beliau mengalami masalah kesihatan seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setiap dua bulan.



Menurut Cik Esah, jika dahulu bantuan zakat lebih digunakan bagi menampung keperluan suaminya, wang berjumlah $300 itu kini lebih untuk keperluan dirinya sendiri.



Katanya lagi, sekarang beliau masih mempunyai beberapa bil seperti bil poliklinik dan bil elektrik dan air yang tertunggak, namun berasa bersyukur dengan apa yang beliau ada.



"Kalau ada (rezeki), adalah. Saya tawakal," kata Cik Esah.



Beliau berkongsi bahawa beliau juga adakalanya menggunakan bantuan zakat itu untuk bersedekah.



Mengulas tentang rutin hariannya pula, Cik Esah berkata beliau banyak menghabiskan masa di rumah dan tidak keluar rumah jika tiada keperluan.



Antara kegiatan Cik Esah adalah bercucuk tanam yang beliau anggap sebagai satu senaman, mengaji Al-Quran dan berzikir, di samping menyertai program-program senaman anjuran Pusat Penuaan Aktif Blossom Seeds atas saranan salah seorang Befriender (Pendamping) Muis dari Masjid Assyafaah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >