Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Sedar ada autisme pada usia 23 tahun

Oct 17, 2017 | 05:30 AM



BERBAJU merah pulasan dengan lengan bell dipadankan dengan seluar hitam dan kasut tumit tinggi serta wajah yang disolek cantik, Cik Amal Husnah Jamaludin kelihatan seperti anak muda 20-an tahun lain.



Headphone berwarna putih yang sentiasa dipakai juga memberi gambaran wanita berusia 27 tahun itu tidak boleh terpisah daripada mendengar muzik seperti ramai anak muda lain.



Namun, hakikatnya, tidak seperti kebanyakan orang seusianya, Cik Husnah mempunyai autisme.



September lalu, beliau terlibat dalam kempen 'See the True Me' 2017 anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Kebangsaan (NCSS) dengan kerjasama Lembaga Tote yang bertujuan meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai golongan berkeperluan khas.



Berkongsi pengalamannya, Cik Husnah berkata beliau hanya mendapat tahu tentang austismenya ketika berusia 23 tahun, apabila membaca buku-buku yang dipamer di perpustakaan mengenai autisme.



"Sedikit demi sedikit saya perasan terdapat banyak persamaan antara diri saya dengan apa yang saya baca," kata anak sulung tiga beradik itu.



Cik Husnah, yang ketika itu menerima rawatan bagi kemurungan, memberitahu doktor bahawa beliau mahu menjalani penilaian autisme. Ternyata sangkaannya itu betul.



"Mendapat tahu hal tersebut, perasaan saya bercampur antara lega, sedih dan kesal.



"Lega kerana akhirnya saya dapat penjelasan mengenai keadaan saya; kesal pun ada kerana andai saya tahu lebih awal, mungkin banyak perkara akan jadi lebih baik," ujarnya.



Mereka yang mempunyai autisme sering mempunyai masalah dalam keadaan sosial atau berinteraksi.



Misalnya, berjabat tangan dengan seseorang yang baru ditemui adalah perkara biasa tetapi bagi mereka yang mempunyai autisme, ia memerlukan usaha.



"Berbual dengan orang, melihat mata mereka, itu semua memerlukan usaha. Kami sentiasa berfikir apa yang boleh diterima, apa yang dianggap 'normal'. Ia memenatkan," kata Cik Husnah, yang mempunyai Diploma dalam Sains Sukan dan Latihan daripada Politeknik Republic.



Beliau juga sangat sensitif kepada bunyi di sekitarannya.



Itulah sebabnya beliau sentiasa mengenakan headphone di kepalanya - meskipun tidak ada muzik yang dimainkan, seperti sepanjang temu ramah dengan wartawan. Alat tersebut digunakan untuk mengurangkan bunyi di sekelilingnya.



"Bagi saya, bunyi di sekitaran saya sangat kuat, lebih kuat daripada apa yang didengar orang lain dan ia membuat saya tidak tenteram," kata Cik Husnah, yang boleh menangis, berasa gelisah dan kadang-kadang menggoyangkan tubuhnya apabila bunyi kuat itu terlalu berat untuk ditangani.



Meskipun gembira banyak kemajuan telah dicapai di Singapura dari segi pengetahuan mengenai autisme, bekas pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah yang sudah dua tahun bekerja dalam sektor teknologi maklumat (IT) itu berharap stereotaip yang dikaitkan dengan autisme dapat dihapuskan.



"Autisme tidak mempunyai 'wajah'. Seseorang tidak semestinya kelihatan lain untuk mempunyai autisme. Setiap daripada kami berbeza dan setiap daripada kami ada kelebihan masing-masing," ujar Cik Husnah, yang mahir bertutur dalam lima bahasa termasuk bahasa Arab, Jerman dan Poland.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >