PELBAGAI kegiatan dakwah telah dilakukan oleh Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq) sejak persatuan itu diasaskan oleh Encik Sadari Musari pada 2006.
Pada masa ini, Pergeraq membimbing hampir 500 pelajar, kebanyakannya secara sambilan, dan diadakan di dalam talian dengan kerjasama tujuh masjid dan dua persatuan Melayu/Islam setempat.
Antara yang terlibat dan membantu menjayakan projek Kempen Celik Al-Quran (KCQ) anjuran Pergeraq adalah Kelab Heal dan Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS).
Antara masjid pula, ia terdiri dari Al-Istiqamah, Al-Muttaqin, An-Nur, Darul Ghufran, En-Naeem, Masjid Kassim serta Mujahidin.
Pergeraq bertaraf Pusat Penyedia Pendidikan Islam (IECP) yang diiktiraf oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) - berlesen untuk menyediakan program Al-Quran.
Kesemua guru dan tenaga pengajar mereka telah mendapat pentauliahan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Guru Al-Quran (QT).
Menurut Setiausaha Eksekutif Pergeraq, Encik Mohammad Hanafiah Tumin, 63 tahun, setiap tahun sebelum Covid-19 melanda, persatuannya perlu membelanjakan sehingga $40,000 berbanding $12,000 kini, untuk membiayai kelas-kelas KCQ.
Projek KCQ dilancarkan pada Disember 2010 dan merupakan sebuah program untuk mendampingi masyarakat Islam setempat, untuk menjadikan Al-Quran sebagai sandaran kehidupan seharian mereka.
Projek KCQ ini menawarkan pembelajaran Iqra' dan asas Al-Quran secara percuma kepada golongan yang memerlukan.
Para pelajar ini datang dari pelbagai latar belakang seperti penerima zakat, pesakit barah, keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas, keluarga berpendapat rendah serta mereka daripada keluarga ibu bapa tunggal.
"Kurang berkemampuan bukanlah alasan untuk tidak mendalami ilmu Al-Quran.
"Tujuan Pergeraq ialah untuk menyediakan kursus dan program pengayaan Al-Quran yang bertauliah dan dimampui untuk anggotanya, golongan masyarakat yang berkeupayaan khas serta masyarakat umum, demi melahirkan pelajar dan guru Al-Quran yang bertauliah dan lebih baik," jelas Encik Mohammad Hanafiah.
Pergeraq menawarkan tenaga pengajar seperti guru ngaji dan Asatizah tempatan, selain itu, pelajar juga mendapat bimbingan dari pensyarah luar negara untuk kelas-kelas anjuran mereka.
Sehubungan dengan itu, Pergeraq juga menawarkan Biasiswa Al-Quran dan Qira'at bernilai $5,000 setiap satu dan ia dikendalikan oleh Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM).
Pada tahun lalu, dua pelajar telah menerima biasiswa ini.
Bagi anda yang berminat untuk mengikut kelas-kelas Al-Quran anjuran Pergeraq, sila hubungi talian 6348-7057 (waktu pejabat). Lungsuri laman mereka di pergeraq.sg, atau hantarkan e-mel anda kepada pergeragsgp@gmail.com.
Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10 PKMS Building, Singapura 419737.