Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KORONAVIRUS

Sekali virus menular, seluruh negara ikut berubah

Hampir setiap sudut lalui penyesuaian, dari peringkat individu, keluarga, lingkungan sosial, korporat dan sebagainya
Feb 23, 2020 | 05:30 AM



Wabak koronavirus baru mula menular di Wuhan, China pada hujung tahun lalu, dan kini telah merebak ke lebih 20 negara di seluruh dunia. Singapura mengesahkan kes pertamanya pada 23 Januari lalu. BERITA MINGGU menyorot bagaimana wabak yang kini dikenali sebagai Covid-19 itu telah menjejas kehidupan di negara ini, dan apakah pengajaran yang boleh diraih daripada wabak Sars pada 2003.




SEBULAN telah berlalu sejak Singapura mengesahkan kes pertama koronavirus baru di negara ini pada 23 Januari lalu.



Kes itu melibatkan seorang lelaki berusia 66 tahun dari Wuhan, China yang kemudian menjadi antara kes awal yang diimport dari negara itu.



Sejauh ini, Singapura telah mengesahkan lebih 80 kes, termasuk lebih 50 jangkitan setempat melibatkan individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.



APA YANG DIKETAHUI



Koronavirus baru itu dipercayai muncul di sebuah pasar makanan laut di Wuhan, ibu kota Hubei, wilayah di bahagian tengah China.



Virus tersebut tergolong dalam kategori koronavirus yang menyebabkan pelbagai penyakit daripada selesema hingga penyakit lebih serius seperti Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) dan Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars).



Kini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi nama rasmi kepada koronavirus baru itu - Covid-19.



Tetapi setakat ini, masih banyak lagi yang belum diketahui tentang virus tersebut.



Saintis kini bertungkus lumus berusaha memahami serta mencari penawarnya.



Apa yang diketahui sehingga kini, virus itu dipercayai dijangkiti menerusi titisan daripada pesakit yang bersin atau batuk.



Jumlah kes jangkitan di China kini mencecah lebih 74,000, dengan lebih 2,000 telah terkorban, tetapi angka kes baru yang dilaporkan setiap hari telah merosot sejak kebelakangan ini.



Kajian melibatkan lebih 72,000 kes di negara itu menunjukkan sebanyak 80.9 peratus jangkitan dikategorikan sebagai sederhana, 13.8 peratus teruk manakala 4.7 peratus kritikal.



BAGAIMANA KEHIDUPAN TERJEJAS?



Di Singapura, kehidupan diteruskan meskipun dengan langkah berjaga-jaga, setelah negara ini meningkatkan Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon) ke kod jingga pada 7 Februari lalu.



Kod jingga bermakna pihak berkuasa bertindak secara agresif untuk "cuba menghentikan atau mengehadkan penularan lebih berleluasa".



Sejak 18 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (MOH) mula mengaktifkan lebih 600 klinik perubatan umum (GP) setempat agar pesakit yang mengalami gejala pernafasan boleh menerima rawatan dan ubat bersubsidi.



Di peringkat masyarakat pula, amalan seperti mengambil suhu badan dan mencuci tangan lebih kerap kini menjadi rutin harian ramai penduduk Singapura, sama ada di tempat kerja, sekolah, mahupun di tempat beribadah.



Ini sedang terdapat dua kelompok jangkitan yang dikaitkan dengan dua kumpulan keagamaan di sini - gereja The Life Church and Missions dan Grace Assembly of God.



Majlis Gereja Kebangsaan Singapura (NCCS) pada 8 Februari berkata gereja setempat akan terus menyediakan khidmat tetapi menasihatkan orang ramai yang tidak sihat untuk duduk di rumah.



Dalam pada itu, pejabat Mufti Singapura telah mengeluarkan dua irsyad atau panduan agama yang menyeru masyarakat Islam di Singapura supaya menjaga kebersihan diri serta kebersihan di masjid.



Antaranya, jemaah disarankan membawa telekung dan alas sujud sendiri, serta mengelakkan daripada bersalaman. Malah, satu cara alternatif disyorkan untuk menyapa satu sama lain, iaitu dengan meletakkan tangan di dada.



KESAN WABAK



Sementara itu, kesan Covid-19 ke atas ekonomi Singapura sudah melebihi Sars, kata Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong pada 14 Februari lalu.



"Kesannya akan menjadi ketara, sekurang-kurangnya dalam beberapa suku mendatang. Ia merupakan penularan besar.



"Saya rasa ia sudah mengatasi Sars dan ekonomi rantau ini kini lebih saling berkait. China, khususnya, ialah faktor lebih besar di rantau ini," kata Encik Lee, yang tidak menolak kemungkinan berlakunya kemelesetan.



Singapura turut menurunkan ramalan ekonomi kepada antara -0.5 peratus dengan 1.5 peratus dek koronavirus itu.



Demi membantu pekerja dan syarikat mengatasi kesan daripada wabak, pemerintah mengumumkan Pakej Penstabilan dan Bantuan bernilai $4 bilion bagi mengekalkan pekerja dan membantu syarikat dalam aliran tunai mereka.



Mengumumkan pakej itu semasa membentangkan Belanjawan pada 18 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri. Encik Heng Swee Keat berkata: "Kami akan melakukan segala usaha untuk memperlahan penyebaran virus itu."



Sejauh ini, usaha Singapura memberi respons kepada wabak itu telah mendapat pujian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta penyelidik di Universiti Harvard yang menyifatkan pendekatan negara ini sebagai mencapai "taraf emas".



Tetapi negara ini dijangka akan terus mengambil sikap berwaspada dalam mengharungi ujian ini.



Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, pada 15 Februari berkata: "Sejauh ini, kita menangani musuh yang tidak diketahui ini dengan cukup baik, namun sememangnya masih ada ruang untuk kita perbaiki dan kita tidak mampu mudah berasa puas hati."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >