Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:35
Maghrib
7:15
Isyak
8:30
Setempat

PERKEMBANGAN COVID-19

Sekarang lega tetapi bantuan diberi sampai bila?

Pemandu teksi bersiap kerja lebih keras meski ada bantuan pemerintah ringankan beban akibat Covid-19
Mar 16, 2020 | 05:30 AM

Mereka dapat menghembus nafas lega apabila pemerintah dan syarikat teksi tampil memberi bantuan kewangan untuk menangani tempoh yang sukar dengan penularan Covid-19 sekarang. Namun dengan koronavirus itu mungkin berlarutan buat jangka masa yang lama, sesetengah pemandu teksi di sini mengeluh memikirkan nasib mereka pada bulan-bulan akan datang dan berharap boleh mendapat lebih banyak sokongan serta bantuan. ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) dan SHAHIDA SARHID (sshahida@sph.com.sg) melaporkan.

BELIAU menghabiskan lebih banyak masa di jalan raya dan terpaksa bekerja lebih keras untuk mencari penumpang sejak lebih sebulan lalu.

Namun, menurut Encik Irmansah Azir, 36 tahun, pendapatan hariannya tetap 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding sebelum penularan Covid-19 di sini.

Mujur, bantuan yang dihulurkan kepada pemandu teksi sepertinya oleh pemerintah dan syarikat pengendali teksi seperti ComfortDelGro dapat sedikit sebanyak membantu pada tempoh yang sukar ini.

Tetapi dengan koronavirus dijangka mungkin berlarutan buat jangka masa yang lama, beliau bimbang sama ada bantuan yang diberi sekarang mencukupi.

Bercakap dengan Berita Harian, Encik Irmansah, yang sudah berkhidmat sebagai pemandu teksi dengan syarikat ComfortDelGro selama hampir lima tahun selepas diberhentikan kerja pada 2013 berkata beliau juga terpaksa membuat beberapa penyesuaian.

Misalnya sebelum ini, beliau akan mengetepikan sebahagian pendapatannya setiap bulan untuk disumbang kepada akaun Tabung Simpanan Pekerjanya (CPF) namun kini terpaksa berhenti seketika.

"Sekarang kalau dapat gaji, keutamaan saya adalah untuk beri keluarga saya makan.

"Kalau ada baki duit, saya perlu ketepikan untuk duit sewa teksi pula," ujarnya.

Kalau dahulu beliau membawa pulang $80 hingga $100 selepas bekerja 10 jam, Encik Irmansah berkata pendapatan $50 sehari sahaja kini sudah boleh dianggap cukup baik.

Ini meskipun beliau terpaksa bekerja lebih lama, sehingga 16 jam sehari.

"Pada mulanya apabila dapat bantuan kewangan daripada pemerintah dan syarikat, bolehlah bernafas sikit. Tapi keadaan bertambah teruk dan selepas bantuan ini dihentikan Mei nanti, macam mana?

"Tak lama lagi dah nak Ramadan, selepas itu Hari Raya. Saya dah bersiap sedia dari segi mental untuk bekerja lebih keras sehingga mungkin tidak dapat balik rumah kerana nak tambah-tambah perbelanjaan keluarga nanti.

"Badan memang letih dan saya tahu saya kena jaga kesihatan juga kerana takut kalau sakit nanti, terus hilang pendapatan," ujar Encik Irmansah yang tinggal dekat Sengkang bersama isterinya yang bekerja di perpustakaan.

Pasangan itu tidak dikurniakan anak tetapi mereka menjaga anak buah yang berumur sembilan tahun.

Dengan Pakej Sokongan Dari Tempat Ke Tempat (PPSP) bernilai $77 juta yang dibiayai bersama pemerintah serta syarikat teksi dan kereta sewa privet, Encik Irmansah menerima bantuan $20 sehari selama tiga bulan sejak 14 Februari lalu.

Selain itu, beliau mendapat rebat sewa tambahan $16.50 sehari dari 21 Februari hingga akhir Mac serta $10 sehari sepanjang April sebagai sebahagian pakej rebat sewa sebanyak $10 juta yang diperuntuk ComfortDelGro.

Oleh itu, beliau berharap pemerintah dan syarikat teksi dapat memberi lebih banyak sokongan kepada pemandu teksi ketika ini.

"Saya harap ada huraian yang lebih baik untuk kita menangani masalah ini bersama.

"Bukan saya minta sewa percuma, tetapi ia harus berpatutan dan setimpal dengan keadaan," ujar Encik Irmansah.


"Pada mulanya apabila dapat bantuan kewangan daripada pemerintah dan syarikat, bolehlah bernafas sikit. Tapi keadaan bertambah teruk dan selepas bantuan ini dihentikan Mei nanti, macam mana? Tak lama lagi dah nak Ramadan, selepas itu Hari Raya.
Saya dah bersiap sedia dari segi mental untuk bekerja lebih keras sehingga mungkin tidak dapat balik rumah kerana nak tambah-tambah perbelanjaan keluarga nanti."

- Encik Irmansah Azir, yang mengadu pendapatan hariannya tetap 30 hingga 40 peratus lebih rendah berbanding sebelum penularan Covid-19 di sini