Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG RAYA

Sekeluarga teruskan warisan buat ketupat meski dalam pandemik

May 12, 2021 | 05:30 AM



SETIAP tahun selama lebih 20 tahun suri rumah, Cik Anita Tompang, dan keluarga telah menganyam dan menyediakan ketupat untuk Hari Raya.



Malah wabak koronavirus Covid-19 yang melanda tidak sedikit pun melemahkan semangat keluarga tersebut untuk terus menghidangkan makanan 'wajib' itu.



Ini meskipun untuk mendapatkan daun kelapa bagi membuat ketupat agak sukar semasa pemutus litar tahun lalu, memandangkan bekalannya terhad.



Namun tahun ini sekitaran agak lebih terbuka dan mudah, justeru Cik Anita, suami dan tiga anaknya tetap akan meneruskan tradisi keluarga menganyam ketupat.



Mereka akan memasak sekitar 150 ketupat yang sebahagiannya akan diberikan bukan sahaja kepada sanak saudara dan rakan, tetapi juga tiga jiran Cina mereka di Jurong West Street 73.



Mengimbas kembali kenangan semasa pemutus litar tahun lalu, anak perempuan Cik Anita, Cik Nurul Fadiah Johari, berkata daun kelapa ketika itu sukar ditemui di pasar dekat rumahnya.



Mereka kemudian bergegas ke pasar Geylang Serai untuk mendapatkannya pada saat-saat akhir.



Cik Anita, 58 tahun, yang ditemui di rumahnya baru-baru ini, pula menambah:



"Di pasar Geylang orang beratur panjang. Suami saya rayu pada penjual daun kelapa itu supaya simpan sebahagian untuk keluarga saya.



"Bila sudah dapat, rasa lega. Daun itu berharga bagi kami kerana ia sebahagian lambang semangat Raya."



Suaminya, Encik Johari Awang, seorang jurutera khidmat berusia 63 tahun.



Menceritakan bagaimana beliau mahir menganyam dan memasak ketupat, Cik Anita berkata beliau mula belajar membuat ketupat ketika berusia sembilan tahun semasa tinggal di kuarters Jervois Road.



Beliau menggunakan daun kelapa daripada pokok-pokok kelapa yang tumbuh di kawasan kuarters itu dan belajar daripada rakan-rakan.



Cik Anita kemudian meneruskan kegiatan membuat ketupat itu bersama ibunya sebelum tradisi tersebut diteruskan dengan keluarganya sendiri seramai lima orang.



Cik Nurul Fadiah, penyelidik di Universiti Nasional Singapura (NUS) berusia 32 tahun, pula menyertai keluarga membuat ketupat ketika di bangku sekolah lagi dan mula menganyam ketika berusia awal 20-an tahun.



"Buat ketupat ini sebahagian daripada identiti kita dan warisan ini tidak akan berhenti di sini sahaja tetapi akan berterusan.



"Ia tidak akan lapuk dek zaman. Sebagai anak muda, saya akan belajar dan meneruskan warisan ini," katanya.



Menganyam ketupat merupakan antara lebih 20 warisan Melayu yang telah diiktiraf dan disenaraikan dalam Inventori Warisan Budaya Tidak Ketara (ICH) Singapura.



Ditanya tentang cara membuatnya, Cik Anita berkata tempoh menghasilkan ketupat memakan masa dua hari - satu hari suntuk diluangkan untuk menganyam ketupat.



Setiap ketupat boleh disiapkan dalam kurang lima minit.



Beras yang dimasukkan dalam kelongsong ketupat pula perlu disukat secara betul - tidak terlalu banyak dan tidak terlalu kurang - sebelum ia direbus menggunakan arang di tepi tangga flatnya.



Ketupat yang sudah dimasak kemudian diagihkan kepada sanak saudara, rakan dan jiran pada Hari Raya pertama.



Bahkan keluarga tersebut merancang untuk mengambil cuti untuk membuat ketupat.



Diminta membezakan ketupat dengan lontong, Cik Anita berkata rasa lontong tidak sama dengan rasa ketupat, bahkan lontong sudah jadi macam makanan harian tetapi ketupat makanan istimewa.



"Kalau kita tak buat ketupat untuk Hari Raya, rasanya macam sesuatu yang hilang.



"Saya rasa bangga dapat teruskan warisan buat ketupat ini. Anak-anak saya juga akan teruskan tradisi ini agar tidak hilang warisan kita," kata Cik Anita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >