Lima warga S'pura, M'sia dituduh pakat ubah wang haram lebih $2j
LIMA lelaki didakwa semalam menjadi sebahagian daripada satu konspirasi mengubah wang lebih $2 juta secara haram menerusi syarikat shell, iaitu syarikat yang mempunyai aset kewangan tetapi tiada kegiatan perniagaan ketara.
Seorang daripada mereka, Tan Hock Keat, seorang warga Malaysia berusia 34 tahun, didakwa mengambil arahan daripada seorang lelaki yang tidak dikenal pasti untuk membuka akaun bank korporat atas nama syarikat shell. Tan sebelum ini pengarah DM Advisory, syarikat berpangkalan di Singapura yang menyediakan khidmat kesetiausahaan korporat.
Antara 2016 dengan 2019, Jabatan Ehwal Komersial (CAD) polis menerima lapan laporan daripada mangsa yang dikatakan ditipu agar memindahkan sekitar AS$1.67 juta ($2.24 juta) ke dalam akaun bank enam syarikat shell.
Lelaki cuba dapatkan drebar Grab hantar senapang replika
SEORANG lelaki yang dituduh menjual senapang replika dalam talian dikatakan cuba tetapi gagal mendapatkan seorang pemandu kereta sewa privet Grab menghantar barangan itu, mahkamah diberitahu semalam.
Liu Huijian, kini 41 tahun, sedang dibicarakan bagi kesalahan di bawah Akta Senjata dan Bahan Letupan. Menurut dokumen mahkamah, warga Singapura itu didakwa memilik 156 senapang yang boleh menembak penabur serta komponen senapang itu.
Ia dijumpai di sebuah flat Sims Place pada 16 November 2018.
Britain tubuh pejabat kesihatan baru dengan HPB SG sebagai model
LEMBAGA Penggalakan Kesihatan (HPB) Singapura akan menjadi model bagi sebuah pejabat baru kerajaan Britain yang akan menerajui usahanya memperbaiki dan meningkatkan kesihatan awam negara itu.
Mengumumkan langkah itu pada 29 Mac, Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial Britain berkata: "Pejabat ini dan pendekatan akan mencontohi cara berhasil bagi agenda ini secara antarabangsa, seperti di Singapura, yang mempunyai Lembaga Penggalakan Kesihatan, dan telah merintis skim kesihatan awam digital baru, seperti 'National Steps Challenge' mereka."
Ketua eksekutif HPB Zee Yoong Kang berbesar hati melihat usaha Singapura dalam mempertingkat kesihatan penduduk di sini dilihat sebagai model berkesan di tempat lain.